Jamian bin Jaffar
Ketua Pengawas 1969
SMK Kluang
(SMK Sultan Abdul Jalil Kluang)
KEPEMIMPINAN bukan semulajadi. Ia tidak dilahirkan bersama dengan lahirnya seseorang ke alam ini. Tetapi ianya terjadi melalui proses pematangan kehidupan seseorang. Adakala ianya terjelma pada usia yang muda tetapi jika diabaikan ianya akan terjelma di usia yang sudah meningkat. Tetapi malangnya ramai yang tidak terjelma langsung sehingga mereka meninggalkan alam ini.
BERMULA SATU KEPEMIMPINAN?
Pada tahun 1969 aku berada di dalam tingkatan 5. Pada awal tahun tersebut sekolah hendak memilih KETUA PENGAWAS. Aku telah dicalonkan bersama dengan seorang rakan aku (Salleh) untuk ‘bertanding’ dalam ‘pilihan raya’ sekolah bagi merebut jawatan ‘Ketua Pengawas’ tersebut.
Kami berdua diberi tempoh sebulan untuk memulakan segala persiapan dan berkempen, sebelum hari pembuangan undi diadakan. Aku bersama beberapa orang rakan telah bersetuju menggunakan ‘menifesto’: ADIL DAN SAKSAMA dengan mengguakan lambang ‘dacing’. - (secara kebetulan sama dengan lambang ‘dacing’ sebuah parti politik masa kini. Tetapi ianya tiada apa-apa kaitan dengannya).
Aku menggunakan khidmat rakan-rakan untuk berkempen sepanjang bulan tersebut. Pada waktu pagi sebelum kelas bermula kempen berjalan dengan menyebarkan risalah ‘DACING’ kepada pelajar-pelajar. Pada waktu rehat aku berpidato di kantin sekolah semasa pelajar-pelajar sedang menjamu selera. Aku juga menggunakan khidmat dua orang pemidato sekolah (Ab.Ghafar dan Ab.Ganhi- kedua-duanya merupakan ahli pasukan bahas sekolah yang pernah menjuarai Pertandingan Bahas antara sekolah di dalam PERTANDINGAN BAHAS PESTA PELAJAR Peringkat Negeri).
Sepanjang tempoh berkempen aku terdengar sorakan-sorakan….”UNDI JAMIAN!”;….“SOKONG JAMIAN!”;…”HIDUP ABANG MIAN!” (daripada suara adik-adik tingkatan 3, 2 dan 1). Aku dapat rasakan sokongan-sokongan tersebut melalui kehangatan semasa erat berjabat salam bersama mereka; melalui renungan, senyuman dan tepukan di bahuku, semasa bertemu dan bersua mereka. Kami menggantung sepanduk dan bendera-bendera kecil terpampang dengan lambang masing-masing di seluruh persekitaran sekolah. Semuanya ini diperhati dan diawasi oleh pengetua (Hj.Idris) dan guru-guru (antaranya Cikgu Rahmat, Cikgu Osman, Cikgu Rosman, Cikgu Mokri, Cikgu Azizah, Cikgu Ishak dan lain-lain).
ADAKAH AKU SEORANG PEMIMPIN?
Kini tiba hari pembuangan undi di setiap kelas bagi seluruh wagra pelajar, untuk menentukan siapakah yang akan terpilih menjadi KETUA PENGAWAS sekolah - Aku atau Salleh?. Hari itu hari Khamis. Semua pengundian dijalankan di kelas-kelas. Setelah tamat mengundi, semua peti undi telah diangkut untuk dikira. Pengumuman bagi memberitahu keputusan ‘pilihan raya’ telah dibuat di dalam perhimpunan khas sebelum sesi persekolahan tamat hari tersebut, oleh Guru Pengawas (Cikgu Rahmat).
Keputusannya….
Aku telah terpilih sebagai KETUA PENGAWAS dan Salleh terpilih sebagai PENOLONG KETUA PENGAWAS. Dalam suasana kegembiraan para penyokongku memberikan tahniah kepadaku. Aku tersenyum menyambut salam dan tahniah mereka dengan seikhlas-ikhlasnya. Rakan-rakan karib lelakiku, memelukku dan menepuk-menepuk bahuku. Sementara rakan-rakan perempuanku mengucapkan tahniah sambil tersenyum.
Pada cuti hujung minggu (hari Jumaat dan Sabtu), aku di rumah menjangkakan bahawa pada hari Ahad (hari pertama minggu persekolahan), tentu aku akan diminta memberikan ucapan sebagai Ketua Pengawas di dalam perhimpunan sekolah. Aku telah merangka dan menghafal teks ucapan yang aku karang sendiri. Teknik menghafal itu sedikit sebanyak membantu kelancaran berucap dan menghindarkan rasa gugup dan gementar. Maklumlah ianya merupakan pengalaman kali pertama berucap di khalayak ramai, dalam hidupku.
Jangkaanku tepat di mana aku telah diminta oleh Cikgu Rahmat, untuk memberikan ucapan atas kemenanganku dan tanggungjawabku sebagai Ketua Pengawas sekolah. Aku berdiri di hadapan para pelajar. Berpinar mataku menentang ratusan mata para pelajar. Resah dan gelisah merasakan ‘panahan’ mata Pengetua dan semua guru di belakangku. Namun dengan tabah dan cekal aku tegak berdiri. Aku diam sejenak sambil mengingat-ingatkan hafalan kata-kata yang hendak dimulakan. Seketika itu juga suasana yang pada mulanya hingar-bingar beransur-ansur menjadi sepi menentikan ucapanku. Dalam kekaburan mata memandang, mulutku melontarkan kata-kata yang dihafal satu persatu dengan berat; semacam ada yang menyekat. Kedua-dua tanganku aku simpul erat di belakang bagi mengelakkan gugup dan gementar.
Aku berkata dan terus berkata, walaupun kadang kala tidak mengikut susunan yang dihafal. Pandangan mataku mula menjadi terang dan jelas. Satu persatu wajah rakan-rakan aku tatapi. Gementar kaki dan tanganku mulai reda. Ucapanku mula lancar sebagaimana yang dihafal. Suhu badanku mula menjadi normal memberikan kekuatan untukku terus berdiri dan menamatkan ucapan. Gemuruh tepukan seluruh pelajar disulam dengan sorakan. Sekilas ku mencuri pandangan ke arah barisan guru-guru belakangku semasa aku berundur diri, kelihatan mereka tersenyum lebar sambil bercakap sesuatu antara mereka.
Di dalam ucapan Pengetua sebelum perhimpunan bersurai terdapat nasihat dan pesanan yang ditujukan kepadaku atas amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Pengawas. Beliau juga memberikan tahniah atas ucapanku sebentar tadi.
Itulah hari pertama dalam ratusan hari sepanjang tahun 1969 untuk aku memikul amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Aku tidak pernah didedahkan dengan sebarang kursus dan latihan kepimpinan. Aku tidak dapat merujuk sebarang sumber untuk mendalami erti kepimpinan. Aku hanya mendapat nasihat daripada kedua ibubapaku supaya menjadi orang tidak sombong, berkawan dan jangan bergaduh, suka menolong, jangan lokek, rajin dan jangan malu bertanya, dengar cakap cikgu dan lain-lain pesanan yang baik. Guru-guru menasihatkanku supaya rajin belajar dan menjadi contoh kepada rakan-rakan lain. Cikgu Rahmat berpesan tingkatkan terus disiplin diri anda.
KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
Aku tidak pernah terdidik sebelum ini dengan kepitahan berpidato; dengan kehebatan berbahas. Seingat aku, aku pernah memasuki pasukan anak serigala di sekolah rendah selama seminggu sahaja kemudian mengundurkan diri, kerana tidak mampu untuk membeli pakaian seragam. Aku hanya berpeluang sekali sahaja untuk berlakun, (drama ‘Hang Tuah’), ketika di darjah dua (tahun dua) di sekolah rendah, memegang watak sebagai pengawal istana.
Tetapi……
Aku ada falsafah hidup ‘berkawan biar seribu, bermusuh JANGAN SEKALI walaupun satu’. Aku ada kemahiran melukis dan mengukir; sehingga sehelai kain batik yang aku buat dan reka dengan kaedah ‘capan lino’ dipamerkan sempena Majlis Perasmian Sekolah (sekolah menengah) oleh Menteri Pelajaran 1969 (YB Abd.Rahman Yaacob). Aku memiliki minat yang tinggi dalam sukan permainan; justru aku pernah mewakili sekolah dalam sepak takraw dan ping-pong. Aku ada bakat dan kebolehan; aku pernah membuat persembahan jimnastik semasa Majlis Perasmian Sekolah. Aku memiliki minat ilmu matematik yang mendalam; maka aku pernah diminta untuk menunjukkan cara menyelesaikan soalan matematik (‘persamaan serentak’) tingkatan lima (ketika aku masih di tingkatan empat) oleh cikgu matematik (Cikgu Mokri).
Aku duduk di meja hadapan dalam kelas tingkatan lima. Apabila cikgu matematik (Cikgu Rahmat) bertanyakan sifir atau sesuatu formula dengan garang dan sepontan kepada kelas, aku akan segera menjawab sebelum ‘cubitan dengan pintalan maut’ cikgu Rahmat hinggap di perut rakan-rakan.
Aku berangan-angan tinggi dan selalu ‘bercakap inggeris’ dengan cikgu Bahasa Inggerisku (Cikgu Azizah) semasa pengajarannyajuga semasa di luar waktu pengajarannya; sehingga aku diminta mewakili sekolah dalam pertandingan Syarahan Bahasa Inggeris dan telah menjuarainya di dalam Pesta Pelajar peringkat negeri tahun 1969 di Pontian Johor - dengan menerima hadiah sebuah buku kamus Bahasa Inggeris (kini masih lagi tersimpan dalam keadaan baik dan masih boleh digunakan - 'berusia 42 tahun').
Aku berangan-angan tinggi dan selalu ‘bercakap inggeris’ dengan cikgu Bahasa Inggerisku (Cikgu Azizah) semasa pengajarannyajuga semasa di luar waktu pengajarannya; sehingga aku diminta mewakili sekolah dalam pertandingan Syarahan Bahasa Inggeris dan telah menjuarainya di dalam Pesta Pelajar peringkat negeri tahun 1969 di Pontian Johor - dengan menerima hadiah sebuah buku kamus Bahasa Inggeris (kini masih lagi tersimpan dalam keadaan baik dan masih boleh digunakan - 'berusia 42 tahun').
Sehingga akhirnya aku sedar bahawa tanpa kepitahan berpidato dan kehebatan berbahas aku mampu menggalas amanah kepimpinan selaku Ketua Pengawas bila mana semua rakan lebih senang diajak untuk berdisiplin melalui ‘kemahiran’, ‘minat’, dan ‘kebijaksanaan’ yang boleh mereka cerapi dan teladani; berbanding dengan melalui arahan dan suruhan semata-mata.