Saturday, May 14, 2011

AMANAT UNTUK PEMIMPIN

 Saya bertugas sebagai
PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH SEGAMAT (PPDS)
mulai 1 Disember 2001.

Saya berazam agar dapat memimpin dengan baik menepati ciri-ciri kepimpinan yang diredhai Allah SWT. Untuk itu saya nukilkan “AMANAT PPDS” (berdasarkan sirah Rasul SAW)
dan membentangkannya pada 27 Disember 2001, di Dewan SMK Gemerih Segamat,
dalam Mesyuarat Pengurusan Sekolah bersama semua warga pemimpin (Pengetua dan Guru Besar).

Saya menyeru agar “AMANAT PPDS” ini  dapat digarap dan direalisasikan bersama 
dalam pengurusan sekolah sesi 2002, demi kemajuan dan kecemerlangan pendidikan Daerah Segamat.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

AMANAT  PPD SEGAMAT 2002

ASSALAMUALAIKUM WRT
Dan
SELAMAT SEJAHTERA.

“SEGALA PUJI BAGI ALLAH SWT DAN SALAM BUAT RASUL SAW”.

Saudara-Saudari Pengetua dan Guru Besar
yang dihormati sekalian.

Ketahuilah bahawa kita dilantik sebagai “PEMIMPIN” adalah bertanggungjawab untuk menjalankan amanah. Kita akan sentiasa diperhatikan oleh ‘ANAK BUAH’ dengan pandangan mata yang senang atau tidak senang. Mereka akan bercakap mengenai kita, seperti apa yang kita cakapkan mengenai mereka. Hakikatnya mereka akan memuji tindakan-tindakan baik kita.

Semaikan di hati kita perasaan kasih kepada ‘ANAK BUAH’ dan biarkan ia menjadi sumber kebaikan dan rahmat kepada mereka. Mereka adalah orang-orang yang bertamaddun dan jangan sekali-kali kita merampas apa yang mereka miliki.

Ingatlah bahawa mereka mempunyai kelemahan dan melakukan kesilapan – malah sesetengahnya memang melakukan kesalahan. Maafkan mereka seperti mana kita mahu TUHAN mengampunkan kita. Jangan rasa bersalah atas tindakan kita memberi maaf; dan jangan rasa gembira atas hukuman yang kita jatuhkan terhadap mereka. Jangan biarkan diri kita dalam kemarahan, kerana ia tidak akan membawa sebarang keuntungan.

Jangan kita terlupa sehingga berasa megah dan sombong  dengan “KUASA” yang diamanahkan kepada kita, kerana “KUASA” dan “KEAGUNGAN” Tuhan Maha Esa mengatasi segala-galanya. Kegagalan kita menggunakan kuasa dengan betul, menyebabkan kita berlaku zalim – yang akan menjadi kemurkaan-Nya.

Kekalkan sifat ‘ADIL’ dalam pengurusan kita, supaya dapat meraih ‘persetujuan’ ramai,  kerana persetujuan dan rasa puas hati ‘ANAK BUAH’ akan menjadi sumber ‘kekuatan’ dalam organisasi kita.

‘ANAK BUAH’ kita tidak terkecuali daripada kelemahan. Oleh itu jangan mendedahkan kelemahan yang tersembunyi, tetapi cuba hilangkan kelemahan yang sudah nyata. Ingatlah pesanan Nabi SAW – Janganlah kamu membuka kelemahan orang lain, kelak Allah akan membuka kelemahan kamu dengan lebih banyak lagi.

Hapuskan kekusutan perasaan benci membenci dalam segala perkara yang menyebabkan ketegangan dalam perhubungn antara ‘ANAK BUAH’. Jangan tergesa-gesa mencari kebenaran fitnah yang diceritakan kepada kita, kerana orang yang menceritakan itu selalunya tidak jujur dan berpura-pura dalam bersahabat dengan kita.

Ingatlah pesanan bijak pandai:
·         Jangan minta nasihat daripada orang ‘kedekut’; kerana dia akan melemahkan semangat sehingga kita menjadi ‘miskin’.
·         Jangan terima nasihat daripada orang ‘pengecut’; kerana dia akan melemahkan semangat sehingga kita mejadi ‘penakut’.
·         Jangan minta nasihat daripada orang ‘tamak’; kerana dia akan menanamkan sifat haloba sehingga kita menjadi ‘zalim’.

Dapatkan nasihat daripada orang-orang pintar dan berpandangan jauh, yang tidak dinodai oleh dosa kezaliman dan jenayah. Mereka bukan sahaja akan menjadi rakan baik dalam perjuangan kita, malah merekalah yang akan menjadi sumber pertolongan dan kekuatan dalam pengurusan kita pada setiap masa.

 Dekati ‘ANAK BUAH’ kita dengan jujur dan elakkan daripada sebarang pujian atas kebaikan yang pernah kita lakukan, kerana bimbang kerja kita menjadi tidak ikhlas dan mudah memupuk rasa megah dan angkuh dalam jiwa kita.

 Jangan beri layanan yang sama kepada orang yang baik dan orang yang jahat. Ini akan menghalang mereka yang baik daripada terus melakukan perkara baik, dan akan menggalakkan mereka yang jahat supaya terus melakukan perbuatan jahat.

Pupuklah perasaan muhibbah antara kita dengan ‘ANAK BUAH’ dan antara mereka sesama mereka melalui kebaikan dan keadilan. Ini kerana perasaan muhibbah akan menyelamatkan kita daripada bincana. Mereka akan membalas sikap baik hati kita dengan memberikan kepercayaan mereka kapada kita.

Ingatlah ‘ANAK BUAH’ kita dianggotai oleh pelbagai jenis manusia – yang berbeza dari segi sifat dan fizikal serta latar belakang – Tuhan mengamanahkan kita supaya berlaku adil dan memenuhi hak mereka dalam kepelbagaian mereka itu. Berikan perhatian khusus kepada kebjikan mereka selagi mereka taat kepada Tuhan, Rasul dan Ketua.

Jangan kita mendabik dada mengenai kebaikan yang telah kita lakukan kepada mereka. Jangan pula kita memandang rengan kemesraan yang mereka tunjukkan kepada kita. Percayalah sikap ini akan menimbulkan rasa ketaatan, kesetiaan dan baik sangka antara kita dengan mereka. Layanlah kehendak mereka walau sekecil mana sekali pun, kerana kadang kala permintaan yang kecil jika diberi perhatian akan mendatangkan kelegaan yang amat besar kepada mereka. Pastinya mereka tidak akan lupa atas jasa-jasa kita, dan akan bersedia ketika kita memerlukan pertolongan mereka.

Kekalkan sikap lemah lembut terhadap ‘ANAK BUAH’, supaya mereka terasa sentiasa bersama kita. Kejujuran mereka dicurahkan melalui kecintaan dan penghormatan yang mereka tunjukkan kepada kita, dan ini dapat mengekalkan pentadbiran dan organisasi. Nasihat kita kepada mereka tidak berguna, kecuali dan sehingga kita tunjukkan sikap kasih sayang kita kepada mereka; hingga mereka tidak menganggap tugas yang diberikan sebagai ‘beban’ yang menindas.

Teruskan usaha memenuhi keperluan mereka dan memuji terhadap perkhidmatan baik yang mereka berikan. Sikap seumpama ini insya Allah akan mendorong tindakan yang lebih berani dan jujur. Sahkan jawatan mereka setelah mereka layak.

Jangan memilih di kalangan mereka kerana sesuatu jawatan atau anugerah, disebabkan oleh perhubungan peribadi, atau dipengaruhi oleh orang lain.  Ini akan membawa kepada ketidakadilan dan rasuah. Sebaliknya pilihlah mereka dari kalangan yang berpengalaman,  bagus tugas dan sifat peribadinya serta kuat imannya. Mereka ini tidak mudah kalah dengan godaan nafsu, dan akan menjalankan tugas dengan baik. Pelihara kebajikan mereka, pastikan gaji mereka terima, kerana ini dapat memberi keselesaan dan membersihkan diri mereka daripada melakukan kejahatan dan penyelewengan.

Sentiasa awasi ‘ANAK BUAH’ kita dan pilihlah di kalangan mereka yang terbaik serta yang kita percaya, terutama dalam urusan-urusan sulit dan rahsia; kerana mereka ini selalunya tidak akan terpengaruh dan tidak akan menjejaskan kepentingan organisasi. Bantulah mereka dengan nasihat-nasihat yang berguna secara hikmah.

‘ANAK BUAH’ kita yang berada di 'bottom line’ selalunya merupakan golongan yang cintakan kedamaian dan menurut perintah. Lawatilah mereka di mana sahaja mereka berada. Jalinkan hubungan peribadi dengan mereka ini dan bertanyakan masalah mereka.

Tetapi kadang kala mereka tamak dan cuba menipu, maka halanglah perbuatan mereka yang boleh menjatuhkan maruah pentadbiran dengan bijaksana. Temuilah mereka yang berpendapatan rendah dengan berbincang secara terus dan ikhlas dari hati ke hati bagi mendengar rasa isi hati mereka. Tabahkan hati dan bertenang dengan bahasa yang keras yang mungkin digunakan oleh mereka. Jangan lekas berang jika mereka tidak dapat menyatakan dengan jelas. Tuhan akan sentiasa bersama kita sekiranya kita bersabar, dan akan dibukakan pintu rahmat-Nya kepada kita. Berikanlah kepada mereka apa-apa yang termampu tanpa bersungut.

Pastikan bantahan dan permohonan mereka sampai kepada kita, untuk tindakan sewajarnya dengan segera. Selesaikan sesuatu kerja pada hari itu juga; kerana keesokan hari akan membawa kerja yang lain pula. Jangan kita memisahkan diri kita dengan ‘ANAK BUAH’, jika kita berbuat demikian, kita tidak akan tahu hal ehwal mereka. Ini akan menyebabkan kita sering mempunyai perspektif yang salah; tidak dapat membezakan mana yang benar dan yang palsu, mana yang penting dan yang tidak penting.

Lekasanakanlah keadilan secara sama rata, tanpa mengira sama ada seseorang itu bersaudara dengan kita atau tidak. Jika mereka menlanggar peraturan ambillah tindakan yang sewajarnya, walaupun ia pahit kepada kita demi kebaikan orgainisasi. Jika ada syak wasangka terhadap diri kita mengenai tindakan kita, jelaskanlah kepada mereka supaya syak wasangka itu terhapus. Cara ini akan menyebabkan mereka menyayangi kita.

Jangan kita menolak sebarang ‘perdamaian’ yang ditawarkan oleh mereka yang bersengketa dengan kita. Terimalah tawaran itu kerana ia disukai Tuhan Maha Esa. Ia akan menyemaikan keamanan yang menjadi punca keselesaan bekerja. Sekiranya dalam perjanjian perdamaian itu kita menerima sesuatu ‘kewajipan’, maka hendaklah kita laksanakan kewajipan tersebut bersunguh-sungguh. Ia adalah amanah yang mesti kita pertahankan dengan seikhlas-ikhlasnya.

Apabila kita menjanjikan sesuatu hendaklah kita tunaikan dengan segala keupayaan yang ada pada kita; kerana tiada kemuliaan yang lebih mulia daripada menunaikan janji. Oleh itu jangan membuat janji yang kita tidak mampu menunaikannya. Perbuatan memungkiri janji adalah kesalahan di sisi Tuhan - Sesungguhnya Tuhan Maha Esa tidak pernah memungkiri janji-janji-Nya.

Jangan membina kekuatan dan kejayaan organisasi kita dengan ‘darah’ kezaliman dan paksaan; kerana ia akan menyebabkan pemerintahan kita akan jatuh. Ingatlah……
·         Jangan tergopoh-gopoh melakukan sesuatu sebelum masanya
·         Jangan melengah-lengah melakukan sesuatu apabila masanya tiba
·         Jangan mendesak melakukan perkara yang salah
·         Jangan berlengah-lengah membetulkan kesalahan
·         Jangan memaksa mereka menurut pandangan kita, apabila mereka telah putus dengan sesuatu
·         Jangan cuai dalam menjaga tangan dan lidah
·         Jangan tunduk kepada hasutan hati dan nafsu serta berpaling dari menjalankan amanah yang diberi.

Marilah kita cari perlindungan Tuhan Maha Esa, dan mendapatkan rahmat-Nya yang tidak terbatas, supaya manusia sejagat menghargai kita dan kerja kita. Sama-samalah kita cari puncak redha Tuhan Maha Esa agar Dia memberi kepada kita kesyahidan di jalan-Nya.
Insya Allah.

Wabillahi Taufiq Wal-Hidayah
Wassalamualaikum wrt.  

(kulit belakang)

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More