Wednesday, October 31, 2012


PERSARAAN BAGIKU….


BERSARA

Maknanya aku sudah tidak lagi bekerja. Ini kerana aku telah sampai kepada masa umur persaraanku. Mahu tidak mahu aku kena berhenti bekerja kerana tertakluk kepada peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Tetapi hasratku masih lagi mahu ‘bekerja’, disebabkan oleh faktor-faktor tertentu; dan tentunya hasrat tersebut adalah baik. Maka apabila hampir bersara fikiranku mencongak-congak nak ‘kerja’ apa nanti selepas bersara. Itulah sebabnya apabila kita telah bersara dan jumpa dengan teman-teman, soalan yang selalu diajukan ialah…”Sekarang dah bersara ni, tuan buat apa?....”


Apa pun faktor yang mendesak untukku ‘bekerja’ selepas bersara; hendaknya janganlah sampai aku terlepas peluang untuk merasai nikmat ‘persaraan’. Selagi aku belum bersara aku belum benar-benar  memahami erti persaraan.

Kini apabila aku telah melangkah masuk ke alam persaraan barulah aku benar-benar memahami dan merasai nikmat persaraan. Itu pun dengan 1 Syarat..  
Iaitu  … ‘AKU tidak lagi di bawah perintah orang’.

Oleh itu jika aku ingin ‘bekerja’ selepas bersara, aku akan pastikan aku bekerja tetapi TIDAK di bawah ‘perintah orang’.

Apa maknanya jika telah bersara tetapi aku masih lagi di bawah perintah orang?. Aku tidak dapat merasai ‘kebebasan’. Tidak dapat  membuat pilihan dan keputusan sendiri. Aku tidak dapat memberi masa untuk diri dan keluarga sendiri; serta bermacam-macam lagi halangan terhadap kebebasanku. Kenapa selepas berusia emas dengan kekuatan yang semakin menurun, aku masih memilih untuk berada ‘di bawah orang’? Tidak adakah ‘keazaman’ untukku membebaskan diri dan perasaan dari terbelenggu.
 masjid-alehsan.blogspot.com                                                                                                            
               
   surausilaturrahim.blogspot.com         
                                       

Bukan aku tidak boleh ‘bekerja’ selepas bersara, tetapi aku harus tentukan ‘jenis’ dan ‘bentuk’ pekerjaan yang aku pilih tidak akan melenyapkan nikmat persaraanku. Aku akan lakukan kerja-kerja dengan sumber ‘kekuatan’ yang ada padaku..

Dahulu aku ditentukan untuk ke sana ke sini; diikat  dengan mesyuarat, dengan program,  dengan majlis, dengan berbagai agenda yang sering mendesak sehingga menyempitkan ruang dan peluang untuk memenuhi tuntutan dan keperluan anak, isteri, keluarga, jiran tetangga, sahabat handai malahan masyarakat.

Dahulu keutamaan masa bertugas telah mendesak aku, sehingga solatku sesempatnya di tol-tol, di hentian-hentian lebuhraya, di stesyen-stesyen minyak sepanjang perjalanan…..Maka itu jika aku ingin ‘bekerja’ selepas bersara,  seharusnya tuntutan kerjaku tidaklah sedemikian hendaknya. Sebaiknya aku yang mengikat masa, sehingga berupaya memenuhi tuntutan anak, isteri, keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat. Sebaiknya aku yang mengikat masa supaya diriku dapat memenuhi tuntutan dan tanggungjawab solat berjemaah seawal waktu di surau atau di masjid dengan jiwa yang tenteram.

Apa yang utama bagi aku bila ‘bekerja’ selepas bersara, yang pasti aku ada masa untuk beriadah, bersantai, melancung, meraikan keluarga, tetangga dan sahabat handai. Lebih-lebih lagi masa untuk masyarakat dengan aktiviti-aktiviti gotong royong, rewang, kenduri kendara dan aktiviti-aktiviti sosial yang lain.

Sebelum bersara aku bekerja dan dibayar gaji. Kalau aku ‘ponteng’ seharusnya aku tidak dibayar gaji - (kalau dapat juga ertinya ‘aku dapat gaji yang tidak halal’). Kini selepas bersara aku tidak bekerja tetapi dapat ‘duit pencen’. Secara logik takkanlah seseorang itu ‘dibayar’ dengan tiada sebarang ‘pekerjaan’. Erti di sebaliknya ialah….kalau kita dapat ‘duit pencen’  kita kenalah ‘bekerja’,….barulah duit pencen itu ‘bermakna’ dan ada keberkatannya.

Ini menguatkan lagi keyakinanku bahawa selepas bersara semestinyalah aku ‘bekerja’. Maka bekerjalah aku mengikut pilihan, kesesuaian, keutamaan, keselesaan, kepakaran dan kemahiran sendiri.  

Di manakah medan pilihan pekerjaanku yang sedemikian?

Aku boleh bekerja sendiri seperti berniaga, bertani atau berkebun (jika aku ada kebun dan modal sendiri).

Jika aku tiada kebun dan modal sendiri, aku boleh berkecimpung dalam pelbagai persatuan atau NGO. Di sana seluruh tenaga, fikiran, kemahiran dan kepakaran boleh aku curahkan.  Mudah-mudahan dengan kesungguhan dan keikhlasanku memberikan sumbangan tanpa meminta ganjaran akan ‘terukir’ kejayaan-kejayaan. Di samping itu pilihan pekerjaan yang aku lakukan akan benar-benar merupakan ‘ibadah’ kerana ianya boleh kita jadikan ‘medan dakwah’ kepada masyarakat umum.

Natijahnya dengan izin dan rahmat Allah SWT aku berpeluang untuk merasai ‘nikmat’ persaraan - (selain dari nikmat-nikmatNYA yang terlalu banyak yang tidak terkira olehku.) 









                                           





Wednesday, October 24, 2012


Pada Sabtu 20.10.2012 saya telah dijemput oleh Tn.Hj.Mohamed Kassim bin Hj.Abdul Latiff, GPK Pentadbiran SMK Paduaka Tuan Segamat (yang menjalankan tugas Pengetua kerana sekolah tersebut belum lagi diisi kekosongan pengetuanya), untuk bertemu dengan seluruh warga kerja sekolah bagi menanamkan lagi sifat-sifat dan tanggungjawab guru yang berkesan.

Saya bersetuju dan telah bersama-sama mereka selama dua jam dari pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari berbincang atas tajuk "INTEGRITI"; (berfokus kepada sifat-sifat guru berintegriti yang memiliki tiga kekuatan, iaitu kekuatan-kekuatan IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient) yang positif. Ciri-ciri tersebut juga menepati dengan apa yang ditegaskan oleh Ibn Sina yang mengatakan bahawa bagi seorang pendidik yang cemerlang seharusnya memiliki: 1. Kepintaran dalam mendidik, 2. Kehebatan diri dan kepakaran dan 3. Teguh agama serta mengamalkannya.)


Sesuatu yang 'menarik' dalam kunjungan saya pada kali ini ke sekolah tersebut ialah, imbauan 'nostalgia' bahawa saya pernah bertugas sebagai PPD (Pegawai Pelajaran Daerah) Segamat pada tahun 2002; dan pernah membuat kunjungan hormat ke sekolah ini pada 22.4.2002 dalam "PROGRAM TITIAN MUHIBBAH"; (suatu 'Program Khas' yang saya bina sendiri selaku PPD Segamat ketika itu). Program  ini bertujuan untuk saya hadir sendiri mengunjungi sekolah-sekolah atas rasa sedar dan rela secara tidak rasmi. Ianya akan memberikan saya banyak ruang dan peluang untuk bermesra dan bertemu dengan pelajar-pelajar dan guru-guru dengan lebih dekat lagi.



Pada kunjungan pertama saya itu (pada 22.4.2002), dengan izin Allah SWT saya telah 'terlihat' akan seorang guru lelaki muda yang tanpan berdiri dengan gagah di sebelah pentas perhimpunan sambil memerhatikan seluruh pelajarnya agar terkawal dan berdisiplin semasa saya sedang berucap kepada semua pelajar dan guru dalam perhimpunan pagi sekolah tersebut. Selepas berucap di perhimpunan itu saya terus bertemu dengan guru lelaki berkenaan, bersalam dengan bertanyakan nama dan khabar. Beliau ialah Tn.Hj.Mohamed Kassim bin Hj.Abdul LAtiff

Terdetik di fikiran saya ketika itu bahawa guru ini boleh menjadi seorang yang guru yang berwibawa pada masa akan datang, melihat kepada gaya dan tanda-tanda yang terdapat pada diri dan perwatakannya. Maka saya umpamakan beliau ibarat 'Permata Yang Terpendam' yang akan bersinar pada suatu masa kelak.

Alhamdulillah pada hari ini (20.10.2012 semasa saya hadir untuk memberikan ceramah INTEGRITI kepada seluruh wagra SMK Paduka Tuan Segamat); Tn.Hj.Mohamed Kassim yang menjalankan tugas pengetua telah membuktikan segala-galanya; di mana pada saat ini SMK Paduka Tuan Segamat telah menjadi salah sebuah sekolah yang cemerlang bukan sahaja di daerah Segamat malah di seluruh negara apabila Kementerian Pelajaran Malaysia telah menganugerahkan SMK Paduka Tuan Segamat dengan  ANUGERAH SEKOLAH CEMERLANG DENGAN PENINGKATAN GRED PURATA SEKOLAH 12.7% dalam peperiksaan SPM 2011.  




Selain itu sekolah ini juga telah dianugerahkan dengan:

* ANUGERAH SEKOLAH CEMERLANG KATEGORI LONJAKAN SAUJANA SIJIL PELAJARAN   
  MALAYSIA 2011 oleh Jabatan Pelajaran Johor, 

* ANUGERAH SEKOLAH CEMERLANG NEGERI JOHOR KATEGORI LULUS PENUH 100%  
  SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA TAHUN 2011 oleh Jabatan Pelajaran Johor,

* ANUGERAH SISTEM PENGURUSAN SEKOLAH KUALITI (SPSK) DENGAN PENARAFAN 5 
  BINTANG oleh Jabatan Pelajaran Johor.


Lain-lain kecemerlangan yang ditempa oleh sekolah ini termasuklah:

* Mengekalkan lulus 100% Sijil Tinggi Persekolahan 
  Malaysia selama enam tahun berturut-turut 
  (2006 hingga 2011), 

* Pencapaian Cemerlang Penilaian Menengah Rendah 
  2011 dengan peningkatan sebanyak 15.75%, 

* Pencapaian Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2011 
 dengan peningkatan sebanyak 21.14% dan 

*JOHAN dalam PERTANDINGAN HIASAN DAN 
  PENCAHAYAHAN BANGUNAN KAWASAN 
  PENTADBIRAN MAJLIS DAERAH SEGAMAT SEMPENA 
  SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-55 
  TAHUN 2012 PERINGKATAN DAERAH SEGAMAT.


Gambar-gambar sekitar perjalanan LATIHAN DALAM PERKHIDMATAN (LDP) 'HARI PROFESIONALISME: GURU BERINTEGRITI' pada 20.10.2012 di SMK Paduka Tuan Segamat:

                                                                                 

























Monday, October 1, 2012


MAKNA "PENYELESAIAN MASALAH"


Pernahkah anda terfikir bagaimana hendak menyelesaikan sesuatu masalah 'pertelingkahan' antara dua pihak manusia. Tentunya jika anda bertindak seperti seorang 'hakim' anda akan membuat keputusan bahawa salah satu daripada dua pihak tersebut "bersalah". Tetapi  bagi menyelesaikan pertelingkahan manusia yang berpunca dari 'rasa tidak puas hati', penyelesaian tidak seharusnya dibuat sedemikan rupa. Maknanya anda tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang hakim. Ini kerana 'rasa tidak puas hati' BUKAN merupakan suatu kesalahan disiplin yang menyebabkan mereka mesti 'dihukum'.

Sebaiknya bagi menyelesaikan masalah 'rasa tidak puas hati' tersebut, anda seharusnya 'faham' dan 'berusaha':-

                        "BAGAIMANA ANDA DAPAT MELAKUKAN SESUATU SEHINGGA 
                          KEDUA-DUA PIHAK TERSEBUT DAPAT DIBAWA KE SUATU 
                                                        'TITIK PERTEMUAN' 
                                           SEHINGGA AKHIRNYA KEDUA-DUA PIHAK    
                               'MEMBUANG' RASA TIDAK PUAS HATI MASING-MASING."

Dalam hal demikian anda hendaklah betul-betul bertenang dan bersabar. Letakkan diri anda betul-betul dalam keadan yang positif dengan berfikir akan segala kebaikan bukan segala keburukan. Tidak mencari siapa yang salah dan siapa yang betul. Anda tidak membina 'suasana mahkamah'; tetapi anda membina 'suasana pertemuan' antara manusia - yang berdaya mencetuskan pemahaman, perasaan dan keikhlasan (IQ, EQ, SQ) bersama; dengan izin dan redha Allah SWT.

Suatu peristiwa seperti di atas telah saya alami pada tahun 2007, semasa saya bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Johor. Ianya telah saya nukilkan di dalam: JAUHARI iaitu e-Majalah 2010 Jabatan Pelajaran Johor di halaman 10-13; berjudul: 

                                  HIKMAH DI SEBALIK PERKATAAN "SAYANG..."












Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More