Wednesday, October 31, 2012


PERSARAAN BAGIKU….


BERSARA

Maknanya aku sudah tidak lagi bekerja. Ini kerana aku telah sampai kepada masa umur persaraanku. Mahu tidak mahu aku kena berhenti bekerja kerana tertakluk kepada peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Tetapi hasratku masih lagi mahu ‘bekerja’, disebabkan oleh faktor-faktor tertentu; dan tentunya hasrat tersebut adalah baik. Maka apabila hampir bersara fikiranku mencongak-congak nak ‘kerja’ apa nanti selepas bersara. Itulah sebabnya apabila kita telah bersara dan jumpa dengan teman-teman, soalan yang selalu diajukan ialah…”Sekarang dah bersara ni, tuan buat apa?....”


Apa pun faktor yang mendesak untukku ‘bekerja’ selepas bersara; hendaknya janganlah sampai aku terlepas peluang untuk merasai nikmat ‘persaraan’. Selagi aku belum bersara aku belum benar-benar  memahami erti persaraan.

Kini apabila aku telah melangkah masuk ke alam persaraan barulah aku benar-benar memahami dan merasai nikmat persaraan. Itu pun dengan 1 Syarat..  
Iaitu  … ‘AKU tidak lagi di bawah perintah orang’.

Oleh itu jika aku ingin ‘bekerja’ selepas bersara, aku akan pastikan aku bekerja tetapi TIDAK di bawah ‘perintah orang’.

Apa maknanya jika telah bersara tetapi aku masih lagi di bawah perintah orang?. Aku tidak dapat merasai ‘kebebasan’. Tidak dapat  membuat pilihan dan keputusan sendiri. Aku tidak dapat memberi masa untuk diri dan keluarga sendiri; serta bermacam-macam lagi halangan terhadap kebebasanku. Kenapa selepas berusia emas dengan kekuatan yang semakin menurun, aku masih memilih untuk berada ‘di bawah orang’? Tidak adakah ‘keazaman’ untukku membebaskan diri dan perasaan dari terbelenggu.
 masjid-alehsan.blogspot.com                                                                                                            
               
   surausilaturrahim.blogspot.com         
                                       

Bukan aku tidak boleh ‘bekerja’ selepas bersara, tetapi aku harus tentukan ‘jenis’ dan ‘bentuk’ pekerjaan yang aku pilih tidak akan melenyapkan nikmat persaraanku. Aku akan lakukan kerja-kerja dengan sumber ‘kekuatan’ yang ada padaku..

Dahulu aku ditentukan untuk ke sana ke sini; diikat  dengan mesyuarat, dengan program,  dengan majlis, dengan berbagai agenda yang sering mendesak sehingga menyempitkan ruang dan peluang untuk memenuhi tuntutan dan keperluan anak, isteri, keluarga, jiran tetangga, sahabat handai malahan masyarakat.

Dahulu keutamaan masa bertugas telah mendesak aku, sehingga solatku sesempatnya di tol-tol, di hentian-hentian lebuhraya, di stesyen-stesyen minyak sepanjang perjalanan…..Maka itu jika aku ingin ‘bekerja’ selepas bersara,  seharusnya tuntutan kerjaku tidaklah sedemikian hendaknya. Sebaiknya aku yang mengikat masa, sehingga berupaya memenuhi tuntutan anak, isteri, keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat. Sebaiknya aku yang mengikat masa supaya diriku dapat memenuhi tuntutan dan tanggungjawab solat berjemaah seawal waktu di surau atau di masjid dengan jiwa yang tenteram.

Apa yang utama bagi aku bila ‘bekerja’ selepas bersara, yang pasti aku ada masa untuk beriadah, bersantai, melancung, meraikan keluarga, tetangga dan sahabat handai. Lebih-lebih lagi masa untuk masyarakat dengan aktiviti-aktiviti gotong royong, rewang, kenduri kendara dan aktiviti-aktiviti sosial yang lain.

Sebelum bersara aku bekerja dan dibayar gaji. Kalau aku ‘ponteng’ seharusnya aku tidak dibayar gaji - (kalau dapat juga ertinya ‘aku dapat gaji yang tidak halal’). Kini selepas bersara aku tidak bekerja tetapi dapat ‘duit pencen’. Secara logik takkanlah seseorang itu ‘dibayar’ dengan tiada sebarang ‘pekerjaan’. Erti di sebaliknya ialah….kalau kita dapat ‘duit pencen’  kita kenalah ‘bekerja’,….barulah duit pencen itu ‘bermakna’ dan ada keberkatannya.

Ini menguatkan lagi keyakinanku bahawa selepas bersara semestinyalah aku ‘bekerja’. Maka bekerjalah aku mengikut pilihan, kesesuaian, keutamaan, keselesaan, kepakaran dan kemahiran sendiri.  

Di manakah medan pilihan pekerjaanku yang sedemikian?

Aku boleh bekerja sendiri seperti berniaga, bertani atau berkebun (jika aku ada kebun dan modal sendiri).

Jika aku tiada kebun dan modal sendiri, aku boleh berkecimpung dalam pelbagai persatuan atau NGO. Di sana seluruh tenaga, fikiran, kemahiran dan kepakaran boleh aku curahkan.  Mudah-mudahan dengan kesungguhan dan keikhlasanku memberikan sumbangan tanpa meminta ganjaran akan ‘terukir’ kejayaan-kejayaan. Di samping itu pilihan pekerjaan yang aku lakukan akan benar-benar merupakan ‘ibadah’ kerana ianya boleh kita jadikan ‘medan dakwah’ kepada masyarakat umum.

Natijahnya dengan izin dan rahmat Allah SWT aku berpeluang untuk merasai ‘nikmat’ persaraan - (selain dari nikmat-nikmatNYA yang terlalu banyak yang tidak terkira olehku.) 









                                           





0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More