Thursday, April 28, 2011

JEJAK GURU BERINTEGRITI

AZAM PENGETUA SETAHUN JAGUNG
SAYA mula mengajar pada 4.1.1976 sebagai guru lepasan siswazah Universiti Malaya Kuala Lumpur, di SMK Dato’ Sri Amar DiRaja (SDAD) Muar, Johor.
Saya mengajar sepenuh masa di tingkatan enam atas dan enam bawah dalam mata pelajaran ekonomi selama 8 tahun di sekolah tersebut. Sepanjang masa itu saya juga memegang pelbagai jawatan; antaranya Guru Kelas Tingkatan Enam, Ketua Panitia Ekonomi, Guru Ketua Rumah Pasukan Temasik (Hijau), Guru/Jurulatih Pasukan Sepak Takraw Sekolah, Guru Penasihat Persatuan Ekonomi, Guru Perpustakaan, Pengerusi Bilik Guru, Guru Pasukan Koir Sekolah, Guru Pembantu SPBT (Skim Pinjaman Buku Teks), Guru Pembimbing Pasukan Ghazal Sekolah dan Guru Koperasi sekolah.

Sepanjang saya berada di SDAD saya juga terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti, antaranya sebagai pemain sepak takraw PSKPP (Persatuan Sukan dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan) daerah Muar, pemain bola sepak pasukan Kelab Guru SDAD Muar, Penyanyi Pasukan Koir Hari Guru Daerah Muar, Pengadil Pertandingan Koir Sekolah-Sekolah Daerah Muar, Pengadil Pertandingan Kuiz Ekonomi Sekolah-Sekolah Daerah Muar, Pelakon Pentomin Sambutan Hari Kemerdekaan Daerah Muar dan Pegawai Sukan MSSD (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah) Daerah Muar.

Pada 1.6.1983 saya ditukarkan ke SMK Lenga (SML) Muar sebagai Guru Penolong Kanan (GPK-Pentadbiran) sekolah gred B – bukan jawatan naik pangkat, tidak dibayar apa-apa elaun memangku atau elaun tanggungan kerja dan bukan satu jaminan untuk lantikan kenaikan pangkat seterusnya, walaupun jika ada kekosongan jawatan. Kenaikan pangkat adalah bergantung kepada kebolehan dan kecekapan menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan – (rujuk surat : JPJ/79/69(SJ)Bhg.I/ R39) bertarikh : 18 Mei 1983).

Walaupun SML terletak sejauh 65km dari rumah kediaman, namun ianya banyak mengajar saya tentang keinsafan hidup. Pagi-pagi subuh saya melihat susah payah anak-anak pergi menuntut ilmu dalam kegelapan dini hari, kesejukan embun pagi. Ada yang sedang berbasikal atau berjalan meredah kebun getah, menunggu bas di tepi jalan atau menunggang motorsikal yang dipandu orang tuanya. Pergi awal pagi balik sampai rumah lewat petang.

Tak ada tuisyen, tak ada kelas tambahan di luar. Bergantung harap sepenuhnya dengan apa yang didapati daripada pengajaran guru-guru sekolahnya semata. Untung sabut timbul untung batu tenggelam. Ayah, ibu dan keluarga amat mengharapkan belas ihsan guru-guru untuk memberi cahya kehidupan bermakna kepada anak-anaknya di hari muka. Keinsafan ini yang menebalkan rasa belas, kasihan dan sayang kepada anak-anak mereka. Semestinya di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung – di mana kita bertapak di situ bakti menggunung.

Pada 1.4.1988 saya ditukarkan ke SMK Bukit Gambir (SMBG) Muar sebagai GPK-Pentadbiran sekolah gred A. Sama seperti SML, SMBG juga merupakan sekolah luar bandar. Selama hampir 3 tahun berkhidmat di SMBG pada 1.1.1991 saya ditukarkan ke SMK Bakri (SMB) Bt.6 Jalan Bakri, Muar sebagai Pengetua.

Selepas 5 bulan bertugas sebagai pengetua di SMB, saya dihantar berkursus ”PROGRAM PERUBAHAN TERANCANG (PPT) di IAB Genting Haighlands selama 3 bulan, mulai 2.6.1991 hingga 7.9.1991. Berbekalkan semangat waja dan sikap positif terhadap tugas sebagai pengetua baru yang tak pun sampai setahun jagung, saya berazam akan mengikuti kursus yang amat bermakna ini dengan bersungguh-sungguh, dan bertekad akan menggunakan segala pengetahuan yang ditimba untuk membawa pembaharuan di SMB.

Sebelum kursus berakhir saya telah berjaya menyiapkan hasil kerja kursus, iaitu sebuah buku program kecemerlangan sekolah, yang dinamakan "PROGRAM PERUBAHAN TERANCANG (PPT) SMB 1992”. Program ini bermatlamat untuk mencapai keputusan SPM SMB 1992 sebanyak 70% buat pertama kali; (kerana sebelum ini SMB merupakan sekolah gred C dan pelajar-pelajarnya hanya sehingga tingkatan tiga sahaja). Hasil daripada berkat kesungguhan tersebut, saya telah berjaya menamatkan kursus PPT dengan CEMERLANG   (Gred A) – Rujuk Sijil Kursus PPT bertarikh 11.12.1991.


Tahun 1992 adalah tahun bagi melaksanakan segala perancangan yang terkandung di dalam buku program ”PPT SMB 1992”. Maka dari Januari 1992 lagi kami seluruh warga SMB (Guru, Staf dan Pelajar) mula menggembeling segala tenaga, bersama ibu bapa, agensi-agensi kerajaan dan swasta, sekolah jiran (khasnya MRSM Bakri Muar) dan masyarakat setempat, melaksanakan semua aktiviti yang terkandung di dalam buku program ”PPT SMB 1992” tersebut. Saya amat bersyukur dan terharu atas kesungguhan semua yang terlibat, khasnya para pelajar, guru-guru dan ibu bapa yang telah mengambil bahagian dalam aktiviti masing-masing dengan penuh komitmen dan kerjasama yang padu.

Saya percaya dengan ungkapan bahawa; ’untuk mencapai kejayaan adalah dengan mengurus kejayaan tersebut’ – iaitu kejayaan yang ingin dicapai itu mestilah kita ’uruskan’ betul-betul bagi memastikannya tercapai. Ianya bukan ’cuba-jaya’, tetapi dengan satu program yang tepat bermula daripada proses-proses: ’mengenalpasti punca masalah sebenar, mencari dan menghurai data secara analitikal, membuat pelan tindakan dan membuat penilaian semasa pada setiap aktiviti yang dijalankan,

Saya juga percaya bahawa ”KEPALA”-lah yang seharusnya mula-mula sekali ’bergerak’; barulah lain-lain anggota akan bergerak. ”KEPALA”-lah yang mula-mula sekali ’percaya’ dan ’berusaha’; barulah anggota-anggota lain akan turut percaya dan berusaha. Segala apa yang ada dalam kepala ”KEPALA” seperti; fikirannya, cita-citanya, kepercayaannya, keyakinannya, matlamatnya, haluannya, seharusnya dapat dikongsi bersama dengan anggota-anggota lain; sebagai satu pasukan kerja yang padu dan kuat. Kunci kejayaan untuk melakukan semuanya itu adalah dengan sifat-sifat Hikmah, Sabar dan Sayang.

Setelah semua anggota pasukan seia sekata dalam satu wadah fikiran dan matlamat yang sama; maka saya yakinkan kepada mereka bahawa: ’Tuhan tidak akan mengubah nasib kita, kalau kita tidak ingin mengubahnya’ (Surah Ar-Ra’d:11), ’Tuhan amat benci kepada kita yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak melaksanakan apa yang kita cakapkan itu.’ (Surah As-Saff:3), dan ’Tuhan akan memperkenankan doa kita kalau kita bermohon kepada-Nya’ (Surah Al-Baqarah:186). Ini ialah kalimah-kalimah Tuhan dan janji-janji-Nya; dan sebaik-baik perkataan itu ialah kalimah Tuhan dan Tuhan tidak pernah memungkiri janji-janji-Nya.

Saya tegaskan kepada semua anggota pasukan: "Yang kita hendak ubah ialah nasib anak-anak murid kita daripada tidak lulus kepada lulus dalam peperiksaan SPM 1992. Nasib SMB yang pertama kali mengambil SPM supaya setara dengan 32 sekolah-sekolah menengah yang lain, yang telah berpengalaman, yang telah memiliki sejarah kejayaan dan yang telah ada tradisi kejayaan..... JANGAN mentang-mentang sekolah kita baru kali pertama mengambil SPM,... 'tak apa’ di kedudukan TERCOROT!!!!....”

Saya juga menegaskan: "Jangan cakap saja nak ubah, tapi tak buat apa-apa.; nanti Tuhan benci kita!...Kalau betul-betul nak ubah, kita letakkan ’maruah’ anak-anak kita dan ’maruah’ SMB di tingkat kejayaan SPM 1992 pada paras 70%.... Nak 70% bukan dengan cakap yang berkobar-kobar saja; tetapi hendaklah dengan suatu perancangan yang tepat dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, berani, ikhlas, adil, tanpa iri hati, tanpa buruk sangka, oleh kita semua dalam satu pasukan kerja yang padu, bertanggungjawab serta penuh keikhlasan."

Antara aktiviti yang utama dan penting di dalam program ’PPT SMB 1992’ itu ialah ’Kumpulan Dinamika’ (Study Group). Calon SPM 1992 seramai 110 orang telah dibahagikan kepada 11 kumpulan, dengan setiap kumpulan mempunyai mentornya sendiri. Kumpulan Dinamika ini dijalankan pada setiap petang (selepas waktu sekolah) mulai jam 2.00 petang hingga jam 4.00 petang. Ianya berjalan dari hari Isnin hingga Khamis setiap minggu, dari bulan Februari 1992 hingga Oktober 1992. Jadual waktu pembelajaran yang khas bagi ’Kumpulan Dinamika’ ini telah disediakan, dan diselia sepenuh masa oleh mentor-mentor yang ditugaskan pada setiap hari. Metodelogi pembelajaran kumpulan ini adalah berbentuk perbincangan dinamik, analitikal, persembahan (presentation) dan membuat latihan kerja yang dinilai.

Hasil latihan kerja setiap ahli kumpulan yang telah dinilai tersebut, direkodkan di dalam sebuah buku khas yang dinamakan ’Buku Log’. Maklumat dari ’Buku Log’ itu akan dianalisis dan dilakar ’Graf Proses Pembelajaran’ masing-masing bagi melihat perkembangan tahap pembelajaran dan perubahan sikap belajar individu.

Semua aktiviti program ”PPT SMB 1992” yang dijalankan telah menunjukkan kejayaan, dari peringkat awal tahun hinggalah ke peringkat pertengahan dan akhir tahun 1992. Ini terbukti daripada semakan dan penilaian semasa, setiap aktiviti yang telah dijalankan itu, telah menunjukkan perubahan-perubahan positif ke arah pencapaian matlamat.

Alhamdulillah berkat daripada perancangan dan pelaksanaan program ”PPT SMB 1992” yang tepat dan terperinci; maka keputusan SPM SMB bagi tahun 1992 telah mencapai 69.1% - (hampir-hampir menepati sasaran 70%). Keputusan SPM 1992 buat kali pertama itu agak memberangsangkan, kerana seramai 14 orang calon telah mendapat pangkat 1 (aggrigat kurang daripada 24). Rujuk Analisis Keputusan SPM 1992.


Pada awal tahun 1993 saya telah ’menemui’ sesuatu yang menghairankan. Pelajar tingkatan dua telah diminta membuat kajian tempatan di bawah mata pelajaran sejarah. Antara kajian tempatan yang dibuat, terdapat seorang pelajar yang membuat kajian tentang sejarah Pekan Bakri. Kajian beliau menyatakan bahawa pada asalnya, di kawasan ini terdapat sebuah kilang membuat roti (bakery). Maka itulah kawasan ini dinamakan ’Bakri’ (yang sebenarnya disebut ’Bakery’). Ini menyedarkan saya bahawa, kawasan ini bukan berasal daripada nama sejarah seorang ’tokoh’ yang bernama Bakri, seperti yang disangka-sangkakan selama ini. Kalau begitu pada tanggapan saya nama sekolah SMB sebenarnya ialah ’SM Bakery’. (yang lebih menggambarkan sebuah sekolah membuat roti).

Atas penemuan tersebut maka saya bercadang untuk memberi satu imej baru dan semangat baru kepada SMB dengan menukarkan nama SMB kepada suatu nama yang lebih memberi ’makna’ kepada semua pelajar, guru malah masyarakat tempatan dan daerah. Saya telah mengambil kata sepakat dengan ’KUMPULAN NGT SMB’ (dalam kalangan Guru Kanan) untuk menamakan sekolah SMB dengan nama baru, iaitu: SEKOLAH MENENGAH TUN DR.ISMAIL (STUDI) Bakri, Muar, Johor. Proses pertukaran nama ini agak sulit kerana menggunakan nama ’seseorang’ , tambahan pula seorang tokoh ternama. Ianya mesti mendapat persetujuan tokoh itu sendiri atau warisnya yang paling hampir.


Kami melalui jalan yang panjang untuk menyusuri dan menjejaki waris yang paling hampir dengan tokoh tersebut, menggunakan pelbagai saluran dan cara. Maklumlah pada tahun 1993 kemudahan internet tidak semudah waktu kini. Pihak Pendaftar mencadangkan supaya menggunakan nama ’sesuatu’ (selain daripada nama seseorang), misalnya nama bunga, nama jalan, nama tempat dan lainnya; kerana mendaftar atas nama-nama tersebut lebih mudah dan cepat mendapat kelulusan.

Namun kami semua tidak mahu berganjak daripada keputusan yang telah dibuat, masing-masing inginkan nama STUDI dikekalkan, kerana nama itu lebih memberi impak dan semangat kepada seluruh warga sekolah khususnya. Atas segala usaha akhirnya segala kesulitan telah menemui jalan penyelesaian, apabila salah seorang anak Tun Dr.Ismail telah dapat dikesan di Kuala Lumpur dan beliau bersetuju atas cadangan kami. Alhamdulillah pada 1 Ogos 1993 nama SMB telah ditukarkan kepada nama ”SEKOLAH MENENGAH TUN DR.ISMAIL” (STUDI) Bakri, Muar, Johor.

Bagi menyemarakkan lagi semangat kerja dengan nama sekolah yang baru, pada tahun 1994 saya telah memperkemaskan sistem pengurusan dengan lebih dinamik. Saya telah menulis sebuah buku khas yang komprehensif, sebagai panduan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti rutin dan developmental pendidikan, sepanjang tahun 1994. Buku khas tersebut dikenali sebagai ”PORGRAM PENDIDIKAN: SEKOLAH MENENGAH TUN DR.ISMAIL (STUDI) BAKRI, MUAR 1994”.
Antara asas pembaharuan sekolah yang utama untuk disuburkan (selepas memiliki nama yang baru) ialah: LOGO dan MOTO sekolah yang baru (ILMU SULUH UTAMA), Piagam Pelanggan Sekolah, Falsafah Pendidikan Sekolah, Tulisan nama sekolah di blok utama, Kami juga bersetuju untuk menggantikan nama-nama bangun/kawasan/kelas/bilik khas, dengan nama-nama yang lebih menarik dan ’bernilai’. Untuk blok-blok bangunan kami namakan dengan nama-nama: NILAM, PERMATA, DELIMA, MESTIKA, KENCANA, INTAN, BAIDURI dan MUTIARA, (tidak lagi menggunakan nama-nama Blok A, Blok B dan seterusnya).

Untuk nama-nama kawasan sekeliling kami namakan dengan nama-nama: DATARAN HIJAU (kawasan rumput), DATARAN ILMU (Tapak perhimpunan), HALAMAN SEHAT (Padang permainan dan rekreasi), TASIK PAWANA (Kawasan berpaya yang telah diceriakan), KEBUN TANI (Kawasan Pertanian), TEPIAN SELERA (Kantin sekolah) dan MEDAN KERETA (Tempat letak kereta).

Kami membina satu pelan tapak sekolah yang besar berwarna-warni dan kami dirikan di hadapan Dataran Ilmu untuk menjadi rujukan umum, di samping untuk menggalakkan lagi kebiasaan warga sekolah dengan nama-nama baru tersebut. Pelan tapak ini akan bercahaya pula di waktu malam, kerana di bahagian dalamnya dipasang dengan lampu. Ianya juga menambahkan lagi seri kawasan Dataran Ilmu tersebut.

Bagi menambahkan lagi semangat persaingan yang sihat untuk belajar dalam kalangan pelajar antara kelas, maka kami telah memberikan nama-nama baru bagi setiap kelas, seperti: ADIL, BESTARI, CERGAS, DEDIKASI, ELIT, FIKIR, GIGIH dan HARMONI. Nama-nama kelas sebegitu sengaja kami gunakan kerana ianya melambangkan nilai-nilai ’integriti’ yang diterapkan secara tersirat. Ia juga menimbulkan suasana sihat dalam kalangan pelajar kerana tidak menunjukkan adanya ’streaming’ dan ’kasta’ antara kelas, yang boleh menimbulkan rasa rendah diri dan kurang yakin.
Pada tahun 1995 saya telah membuat PROGRAM MOTIVASI TINGKATAN 3 & TINGKATAN 5 SEKOLAH MENENGAH TUN DR.ISMAIL MUAR. Ia merupakan program ’khas’ kepada sebahagian pelajar tingkatan 3 yang akan mengambil peperiksaan PMR dan sebahagian pelajar tingkatan 5 yang akan mengambil peperiksaan SPM tahun tersebut. Mereka terdiri daripada 40 orang pelajar lelaki dan perempuan dari setiap kelas. Kumpulan ini dinamakan ’KUMPULAN GALUS’ (Kumpulan yang telah dikenalpasti lemah (’gagal’), tetapi kami berusaha agar mereka berjaya (’lulus’); iaitu mereka yang ’gagal’ tetapi boleh ’lulus’ – ’GALUS’. Program motivasi ini dibuat dalam dua bentuk aktiviti yang berbeza, dalam dua fasa, pada tarikh-tarikh dan tempat-tempat yang berbeza.

FASA PERTAMA: ialah aktiviti ’MOTIVASI: HARGA DIRI’; yang telah diadakan pada 21.7.1995 hingga 23.7.1995 (bermula pada jam 2.30 petang hari Jumaat sehingga tamat pada jam 4.30 petang hari Ahad). Fasa pertama ini dijalankan di sekolah, di mana kumpulan pelajar ini akan melalui sesi-sesi ’Perkembangan Konsep Kendiri”, ’Kemahiran Berkomunikasi’, ’Cara dan Gaya Berfikir’, ’Qiamulail’; termasuk Riadah, Solat Berjumaah, Kuliah Magrib dan Kuliah Subuh serta ’LDK’ (Latihan Dalam Kumpulan).
Objektif aktiviti Fasa Pertama ini adalah untuk menimbulkan kesedaran dan keyakinan dalam diri setiap pelajar bahawa mereka boleh berjaya; khasnya boleh lulus didalam peperiksaan PMR dan SPM tahun 1995 ini.

Saya telah menggunakan tenaga pakar dalam mengendalikan sesi-sesi tersebut, yang terdiri daripada rakan-rakan ’profesional’ saya seperti, Doktor Perubatan Klinik dan Hospital Muar, Kaunselor Pendidikan Daerah Muar, ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) Cawangan Muar, JIM (Jemaah Islam Malaysia) Cawangan Muar dan Pegawai Latihan dari PLPZS (Pusat Latihan Polis Zon Selatan) daripada Kem Polis Hutan, Bakri Muar.

Setiap peserta telah melalui aktiviti-aktiviti dengan kehadiran 100% dan komitmen yang tinggi. Mereka aktif mengambil bahagian dalam setiap sesi dengan menunjukkan sikap positif dan kerjasama yang baik. Bermalam di sekolah, tidur di bilik-bilik darjah beralaskan tikar dan meja sekolah, mandi beramai-ramai di tandas sekolah, tidak menjadi masalah kepada mereka dan tidak menimbulkan masalah kepada kami. Semuanya terkawal. Ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan kami pada awalnya. Saya juga turut bermalam di pejabat dengan membawa bersama anak dan isteri.

FASA KEDUA: ialah aktiviti ’KEMBARA ILMU dan LAWATAN’ yang telah dijalankan pada 4.8.1995 hingga 6.8.1995 di Hutan Rekreasi Air Keroh Melaka. Ia bermula pada jam 2.30 petang hari Jumaat selepas pendaftaran di sekolah, kumpulan 40 pelajar ini menaiki bas MRSM (atas ihsan MRSM Bakri Muar) bertolak ke Air Keroh Melaka. Aktiviti ini tamat pada jam 2.30 petang hari Ahad. Mereka seterusnya membuat lawatan sekitar Bandar Melaka Bersejarah, sebelum pulang ke Muar

Aktiviti kembara bermula pada hari kedua iaitu hari Sabtu 5.8.1995 seawal jam 7.00 pagi dengan sesi taklimat. Kemudian kumpulan pelajar tersebut terus memulakan kembara selepas sarapan pagi. Aktiviti kembara tamat pada jam 3.00 petang. Setiap kumpulan akan melalui empat ’check point’, di mana di setiap ’check point’ mereka akan berhenti membuat tugasan-tugasan yang diberi. Selagi tugasan tersebut tidak selesai mereka tidak dibenarkan bergerak ke ’check point’ seterusnya.

Objektif utama yang tersirat di sepanjang aktiviti kembara ini ialah kita ingin melihat nilai-nilai integriti pada setiap pelajar dan kumpulannya. Antaranya kita ingin melihat kemantapan emosi melalui nilai atau sikap kerjasama, tolong menolong, sepakat, kasih sayang, sepadu, berani, cekal dan tabah. Kita juga ingin melihat kecerdasan intelektual melalui kebijaksanaan menaakul, menyelesaikan masalah, mendiagnos petanda dan mengatasi rintangan. Semua nilai integriti tersebut akan dikupas dan dibincangkan dalam sesi ’Pembedahan Kembara’ pada jam 3.00 petang sebaik sahaja tamat aktiviti pengembaraan.

Nilai-nilai integriti dalam kemantapan emosi dan kecerdasan intelektual tersebut, merupakan faktor-faktor terpenting dalam usaha sesoarang jika ingin berjaya. Inilah nilai-nilai asas yang ingin kami terap dan tebalkan dalam setiap diri para peserta, supaya mereka ada kekuatan, ketabahan, kecekalan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau menjawab sesuatu soalan sehingga berjaya.

Kesungguhan untuk memimpin di STUDI bagi diri saya adalah bermula dari keyakinan yang ada dalam diri. Saya memulakan tugas sebagai Pengetua di STUDI pada 1.1.1991 dan ’boleh’ serta ’berani’ membuat pembaharuan di sekolah setahun selepas dilantik; iaitu bermula pada tahun 1992 (Program PPT SMB 1992). Pada tahun 1993 (Menukar nama sekolah, Logo dan Moto baru, dan membina imej baru sekolah). Pada tahun 1994 (Program Pendidikan STUDI). Pada tahun 1995 (Motivasi Tingkatan 3 & 5 STUDI) – (biasanya pengetua baru akan tunggu dan rujuk kepada pengetua yang lama) –

Keyakinan ini saya peroleh daripada KURSUS PPT di IAB selama 3 bulan yang bukan berbentuk ceramah semata-mata, tetapi juga benbentuk ’amali’; kerana saya dikehendaki membuat sebuah buku program pembangunan sekolah sendiri berdasarkan maklumat sebenar yang dianalisis secara komputer menggunakan perisian SPSS.

Apabila Pengetua telah ada asas ilmu dan keyakinan yang tinggi, ia menjadi faktor yang ’kuat’ untuk mengajak semua anak buah dan masyarakat sokongan memberikan kerjasama. Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak, khasnya guru dan pelajar adalah terbaik, apabila ketua sendiri dapat membuat program dan sama-sama turun padang memainkan peranan secara langsung. Saya buang satu-satunya sifat utama yang menghalang kepada kerjasama iaitu, ’Arahan Ketua’. Pegangan saya: ”SIAPA PAKAR DALAM AKTIVITI/SESI TERTENTU DIALAH YANG MENGETUAINYA UNTUK BERJAYA”. Maka itu dalam peringkat pelaksanaan aktiviti, ’Ketua’ ialah sesiapa sahaja yang arif dalam aktiviti tersebut. Semua warga yang lain menghormati dan mematuhinya (termasuklah pengetua sendiri, jika dia turun padang dan terlibat sama).

Suatu nikmat yang paling memuaskan ialah, balasan kebaikan yang datang kepada kita tanpa diminta. Sesuai dengan perintah Allah SWT ’Fikirkan apa yang kamu boleh beri. Jangan fikirkan apa yang kamu boleh terima’. Kerja yang bersungguh-sungguh kerana Allah SWT, tidak terasa penatnya, tidak terasa jemunya. Ia tidak meminta balasan dunia, tetapi sangat mengharapkan keredhaan Allah SWT. Sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang Allah SWT sesungguhnya meletakkan keredhaan-Nya melalui ganjaran-ganjaran dunia atas izin-Nya. Hasil kejayaan cemerlang kursus PPT IAB dan program ’PPT SMB 1992’, saya telah dilantik sebagai ”Fasilitator Kursus PPT IAB bagi Pengetua-Pengetua Seluruh Malaysia” pada tahun 1993 hingga 1997, di bawah Dr. Maheswary Kandasamy IAB Genting Highlands. Lantikan ini juga merupakan pemangkin keyakinan untuk saya dapat menyusun program-program pembangunan sekolah bersama ’Kumpulan NGT’ (Nominal Group Technique – yang terdiri daripada kalangan Guru-Guru Kanan seramai 8 orang di sekolah).

Mengikut pengalaman saya, sekiranya setiap sekolah ada Kumpulan NGT dengan Pengetua sebagai pengerusinya, selalunya program sekolah dapat dibina, dijalankan dengan kerjasama semua warga sekolah serta mendapat sokongan ibu bapa dan masyarakat. Ini terbukti apabila saya menyelia pelaksanaan program PPT IAB sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia, (semasa saya dilantik sebagai fasilitator), saya dapati mana-mana sekolah yang gagal membentuk Kumpulan NGT yang berkesan, program PPT sekolah tersebut ’gagal’ dilaksanakan – (program PPT sekolah hanya elok pada bukunya sahaja, tetapi bukti-bukti dan penilaian semasa aktiviti tiada).

Satu perkara tunjang yang saya pegang dan hayati ialah nilai-nilai integriti kemanusiaan yang bertaut rapat dengan nilai-nilai agama, seperti: IKHLAS, JUJUR, DISIPLIN, BAIK SANGKA, HORMAT, KASIH, SAYANG, ADIL, BENAR, AMANAH, JANJI, KERJASAMA.... ialah ramuan-ramuan penting; membolehkan cita-cita untuk pembaharuan, kemajuan, kecemerlangan dan kegemilangan dapat dicapai dengan izin Allah SWT. Insya Allah.


MAKLUMAT PERIBADI PENULIS:
NAMA : HJ. JAMIAN BIN HJ.JAFFAR
PENGALAMAN KERJAYA:
1.  1976 hingga 1984 - Guru Siswazah DG41 SMK Dato’ Sri Amar DiRaja,
      Muar, Johor.
2.  1984 hingga 1988 - GPK Pentadbiran (DG41) SMK Lenga, Muar, Johor.
3.  1988 hingga 1990 - GPK Pentadbiran (Tingkatan Kanan A11) DG41
      di SMK Bukit Gambir, Muar, Johor.
4.  1990 hingga 1995 - Pengetua DG41 SMK Bakri, Muar, Johor.
      (Kini dikenal dengan nama SMK Tun Dr.Ismail Bakri, Muar, Johor)
5.  1995 hingga 1996 - Penolong PPD Muar DG41
     (Sektor Pengurusan Kemanusiaan), Johor
6.  1996 hingga 2001 - Pengetua DG48 Sekolah Menengah Teknik Muar,
     Johor
7.  2001 (6 bulan)      - Pengetua DG48 Sekolah Tinggi Muar, Johor.
8.  2001 hingga 2003 - Pegawai Pelajaran Daerah DG48,    
     di Pejabat Pelajaran Daerah Segamat, Johor.
9.  2003 hingga 2006 - Pegawai Pelajaran Daerah DG48
     di Pejabat Pelajaran Daerah Muar, Johor.
10.2006 hingga 2008 - Timbalan Pengarah Pelajaran Johor DG54,   
     di Jabatan Pelajaran Johor.




































`










.

1 comments:

Salam Cikgu,
Dalam pencarian sesuatu saya terjumpa blog ini. Semasa ditingkatan 6 di SDAR tahun 1982 saya berkesempatan belajar Ekonomi bersama cikgu. Itupun untuk hanya beberapa bulan sebelum saya ke Kuala Lumpur melanjutkan pelajaran. Walaupun sangat singkat pembelajaran saya bersama cikgu, saya masih mengingati cara pengajaran cikgu yang terbaik dan menceriakan kami. Kami ditempatkan di Dewan SDAR kerana kekuranagan bilik darjah, untuk lebih 50pelajar baru Tingkatan 6 Bawah. Tulisan ini sekadar berkongsi pengalaman lalu kerana tidak ada yang membahagiakan kecuali bertemu guru-guru lama. Saya mendoakan agar cikgu sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki. Salam hormat
HAJI SAMSUDIN HAJI ABU BAKAR

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More