Sunday, May 1, 2011

HIKMAH DISEBALIK PERKATAAN "SAYANG..."

                      Pada pertengahan tahun 2007 semasa saya bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Johor, saya telah diminta untuk ”menyelesaikan” masalah yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Pontian. Masalah tersebut ialah rasa tidak puas  hati  ibu  bapa  seorang  pelajar  perempuan   terhadap  pengurusan   sekolah tersebut - khususnya Guru Penolong Kanan (GPK) HEM dan Pengetuanya-  Ini disebabkan anaknya telah dibuang sekolah akibat daripada insiden ’pergaduhan’  antara anaknya dengan pelajar perempuan lain di asrama sekolah berkenaan. Masalah ini telah sampai ke pengetahuan Tn.Hj.Mohd.Bakri bin Mat Diah selaku Pegawai Khas Aduan Jabatan Pelajaran Johor (JPNJ). Masalah ini juga mula menjadi ’isu’ yang besar apabila kami dimaklumkan bahawa pihak ibu bapa akan membawa kes ini ke pihak akhbar dan pihak atasan.

                      Saya bersama Tn.Hj.Mohd.Bakri telah memaklumkan kepada pihak sekolah berkenaan, PPD Pontian dan ibu bapa tersebut supaya kes ini dibawa kepada suatu ’pertemuan’ dalam perundingan meja bulat  antara pihak mereka bertiga bersama dengan pihak JPNJ yang dipengerusikan oleh saya sendiri, dan diturut serta oleh Tn.Hj.Mohd.Bakri.  Pertemuan dan perundingan tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat sekolah berkenaan pada jam 10.00 pagi.

                       GPK HEM sekolah tersebut telah memulakan perbincangan dengan menceritakan bahawa pelajar yang dibuang itu telah didapati bersalah kerana telah melakukan kesalahan yang ’berat’ dan memang sewajarnya dikenakan hukuman buang sekolah (mengikut peraturan sekolah). Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak ibu bapa supaya hadir ke sekolah pada hari yang ditetapkan untuk makluman dan tindakan selanjutnya...(dalam hati saya berkata: ”betul”).....

                        Kemudian pihak ibu bapa mencelah dengan menjelaskan bahawa mereka maklum, tetapi tidak dapat hadir pada hari yang ditetapkan kerana suatu urusan yang tidak dapat dielakkan dan telah berjanji akan datang pada hari yang lain sebagaimana yang dicadangkan kepada pihak sekolah.....(dalam hati saya juga berkata ”betul” juga, jadi mana satu yang ”salah”?).....     
                        Kemudian saya berkata: ”SAYANG ya, kalaulah tuan (ditujukan kepada pihak ibu bapa) dapat datang pada hari yang ditetapkan oleh pihak sekolah tentu perkara ini selesai dengan izin Allah SWT, tapiii... tuan ada urusan pulak pada hari tu, ya?”

                        Pihak ibu bapa mencelah: ”Saya betul-betul ada urusan tuan pada hari tu. Tapi apabila saya datang ke sekolah pada hari yang saya cadangkan saya tak dapat bertemu dengan pihak sekolah, katanya sekolah tak dapat maklumat, jadi sia-sia saja saya datang dari jauh,... tup-tup anak saya dah  dikenakan tindakan. Takkanlah pihak sekolah tak boleh timbang rasa sikit”  

                        Saya berkata: ”SAYANG ye, kalaulah tuan (ditujukan kepada pihak sekolah) dapat bertemu pada hari yang dicadang oleh pihak ibu bapa tentu perkara ini selesai dengan izin Allah SWT, tapiii...tuan tak dapat makluman pulak ya?”.

                        Pihak sekolah mencelah: ”Kami betul-betul tak dapat makluman tuan, bukan tak mahu timbang rasa....” (Dalam hati saya bertanya:  ”Macam mana sekolah tak dapat makluman ya?... Ahh itu soalan bodoh. Aku ke sini bukan nak cari siapa salah siapa betul, siapa menang siapa kalah. Aku bukan hakim. Sini bukannya mahkamah. Aku ke sini nak tolong selesaikan masalah.).  Lalu saya berkata lagi: ”SAYANG, SAYANG, SAYANG...ya, kalaulah dapat bertemu dulu,... rasa-rasa masalah ini boleh selesai....ya?”

                        Celah-mencelah terus berlaku  antara pihak ibu bapa dengan pihak sekolah. Ibu bapa mengatakan mereka faham peraturan sekolah; terima anak mereka dihukum; lagi pun suka anaknya dapat masuk ke sekolah ini. Pihak sekolah pula menegaskan bahawa hukuman yang dikenakan bukan kerana benci kepada murid; bukan tak mahu timbang rasa; bukan tak mahu berunding.....dan saya hanya mengiakan hujah-hujah mereka dengan berulang-ulang kali menekankan perkatan ”SAYANG, SAYANG, SAYANG....”

                        Kemudian masing-masing senyap seketika sambil tertunggu-tunggu apakah keputusan yang akan saya buat, sedang saya terus menerus berkata: ”SAYANG, SAYANG, SAYANG  ya” ......

                       Akhirnya GPK HEM memecah kesunyian dengan berkata: ”Baiklah tuan, dari tadi tuan asyik kata SAYANG, SAYANG, SAYANG....Di sini saya mengakulah, atas kesilapan saya perkara ini terjadi. Saya MINTA MAAF kepada pihak ibu bapa sekiranya tindakan saya ini menjadi punca ibu bapa tak puas hati....”.

                         Belum pun sempat GPK HEM menamatkan kata-katanya, pihak ibu bapa mencelah dengan berkata: ”Saya tak salahkan pihak cikgu mengambil tindakan tu. Saya juga rasa bersalah tuan (ditujukan kepada saya). Saya juga MINTA MAAF kerana berkasar dengan pihak sekolah...Lagi pun saya dah buat rayuan dan kini anak saya bersekolah di sebuah sekolah di JB....”..Kemudian Pengetua pula mencelah dengan berkata: ”Saya juga rasa bersalah tuan (ditujukan kepada saya) kerana tak melihat perkara ini dengan teliti. Saya juga MINTA MAAF di atas segala yang terjadi..”.

                         Saya berkata: ”ALHAMDULILLAH... saya yakin hari ini kita telah betul-betul ’bertemu’. Saya juga MINTA MAAF atas semua kata-kata, perlakuan dan lain-lain yang menyinggung tuan-tuan dan puan-puan dalam pertemuan ini.. Selepas itu semua pihak termasuk saya dan Tn.Hj.Mohd.Bakri bersalam-salam, berpeluk-peluk sambil senyum dan gembira dengan ikhlas bermaaf-maafan. Barulah kuih yang dihidang dimakan terasa enak, air yang diminum terasa manis kerana dijamah dengan perasaan gembira.

                        Dalam perjalanan pulang saya menghantar sms kepada GPK HEM berbunyi: ”Assalamualaikum tuan. Saya ucapkan syabasi atas ’keberanian’ tuan menjadi punca penyelesaian terhadap masalah ini; kerana tuan berani mengaku SALAH. Dalam dunia ini tuan sesungguhnya orang yang benar-benar berani ialah orang yang berani mengaku dan menerima kesilapanya; dan Allah sangat hampir kepada orang-orang seperti ini, dengan sifatNYA yang MAHA PEMURAH, MAHA PENGASIH lagi MAHA PENGAMPUN..... Saya minta maaf ya tuan.”

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More