Saturday, May 28, 2011

TOKOH GURU JOHOR 2011



PERAYAAN HARI GURU NEGERI JOHOR 2011
telah disambut pada hari Khamis 19 Mei 2011, bertempat di Dewan Raya Putra, Kulaijaya.Pada hari tersebut
TN.HJ.JAMIAN BIN HJ.JAFFAR
 telah dinobatkan sebagai
 "TOKOH GURU NEGERI JOHOR 2011"
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Dato' Haji Abdul Ghani bin Othman,
Menteri Besar Johor. 


Pada hari tersebut TOKOH GURU telah dianugerahkan dengan Sijil Penghargaan, Pingat  'TOKOH GURU 2011" dan sepasang persalinan berserta sekeping cek bernilai RM3000. Tn.Hj.Jamian bin Hj.Jaffar mula bertugas sebagai guru biasa mulai tahun 1976 di SMK Dato Sri Amar DiRaja Muar. Kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan mulai 1984 hingga 1988 di SMK Lenga Muar sebelum berpindah ke SMK Bukit Gambir Muar pada tahun 1988 hingga 1990. Mulai 1991 beliau telah dilantik sebagai Pengetua di SMK Tun Dr.Ismail (STUDI) Bakri Muar, sehingga tahun 1995. Mulai 1996 hingga 2000 beliau telah dilantik sebagai Pengetua di SM Teknik Muar, Johor. Kemudian beliau dilantik sebagai Pengetua di Sekolah Tinggi Muar pada tahun 2001. Pada tahun 2002 hingga 2003 beliau seterusnya telah dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Segamat. Beliau kemudiannya dilantik sebagai PPD Muar pada tahun 2003 hingga 2006. Mulai  1 April 2006 beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Johor sehingga beliau bersara pada 27.2.2008.



HASIL SUMBANGAN TN.HJ.JAMIAN BIN HJ.JAFFAR

Semasa mula-mula mengajar pada tahun 1976, Tn.Hj.Jamian mengajar mata pelajaran EKONOMI tingkatan enam sehingga tahun 1984. Sepanjang tahun tersebut beliau telah dilantik sebagai Pemeriksa Kertas Ekonomi oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (1977-1980), kemudian dilantik sebagai Ketua Pemeriksa Kertas Ekonomi (1981-1986). 

Pada tahun 1990 -1991 beliau telah dilantik oleh Jabatan Pelajaran Johor sebagai Kakitangan Sumber (KS) bagi mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB). Sepanjang tahun tersebut beliau terlibat secara aktif memberi ceramah dalam kursus-kurusu KHB di bawah seliaan Jabatan Pelajaran Johor.

Pada tahun 1991 beliau telah dilantik sebagai Pengetua di SMK Tun Dr.Ismail (STUDI) Bakri Muar. Beliau telah mengikuti Kursus Program Perubahan Terancang  (PPT) di IAB Genting Highlands selama tiga bulan (6.6.1991-7.9.1991). Hasil daripada kursus tersebut beliau telah mendapat keputusan yang cemerlang dengan berjaya menyediakan sebuah buku program untuk kecemerlangan STUDI. Buku tersebut ialah "PPT SEKOLAH MENENGAH BAKRI 1992" - (Sekolah Menengah Bakri (SMB) ialah nama lama bagi STUDI) - 

"PPT SMB 1992" ialah sebuah program terancang dan terperinci bagi mencapai sasaran: 'KELULUSAN SPM 1992 PADA TAHAP 70%'. Setelah program tersebut dilaksanakan dengan berkesan maka keputusan SPM SMB 1992 ialah 69.1% (dengan seramai 14 calon mendapat PANGKAT 1,  24 calon mendapat PANGKAT 2 dan 38 calon mendapat PANGKAT 3).

Hasil daripada pencapaian cemerlang program "PPT SMB 1992" tersebut, Tn.Hj.Jamian telah dilantik oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) Genting Highlands sebagai "PENASIHAT SET" (Fasilitator) bagi kursus-kursus PPT di IAB untuk peserta-peserta (dari kalangan pengetua-pengetua) bagi ambilan tahun 1993 hingga 1996 (di bawah kelolaan pensyarah IAB Dr.Maheswary Kandasamy). 

Semasa beliau dilantik sebagai Pengetua STUDI beberapa  usaha dan 'program' yang berkesan telah dilakukan, antaranya:
 i. Menukar nama sekolah asal (SMK Bakri Muar) kepada nama baru SMK Tun Dr.Ismail (STUDI) Bakri Muar pada 1.8.1993.

ii. 'PROGRAM PENDIDIKAN STUDI 1994' - ia merupakan sebuah program yang menyeluruh untuk pembaharuan dan pembangunan sekolah. Antara pembaharuan yang telah di buat ialah memperkenalkan nama-nama baru yang lebih 'bermakna' untuk blok-blok bangunan, kelas-kelas, taman-taman, kantin, halaman dan kawasan persekitaran sekolah. 
     
iii. 'PROGRAM GALUS STUDI 1995' - iaitu program PPT bagi membantu pelajar-pelajar yang lemah (dijangka 'gagal'), supaya boleh 'lulus' di dalam peperiksaan PMR dan SPM 1995. Program ini telah melalui dua fasa aktiviti-aktiviti:- FASA 1: "HARGA DIRI" dan FASA 2: "KEMBARA ILMU".

iv. 'PROGRAM GEMPUR MATEMATIK 1995' - iaitu sebuah program bagi mempertingkatkan pencapaian matematik SPM 1995 ke tahap 'Lulus 70%'. (Hasilnya : Kelulusan Matematik SPM 1995 ialah 72.7%).

Semasa beliau dilantik sebagai Pengetua Sekolah Menengah Teknik Muar (1996-2000), beliau telah membangunkan beberapa program yang berkesan, antaranya:
i. SISTEM MAKLUMAT MURID BERKOMPUTER - menggunakan rangkaian LAN yang dibangunkan sendiri dalam kawasan sekolah. Sistem ini memasukkan semua maklumat setiap murid  ke dalam 'Database' tersendiri, sehingga sistem ini telah digunapakai oleh semua sekolah teknik di seluruh negara kemudiannya; dengan beberapapenambahbaikan.

ii. PROGRAM SEKOLAH BERWATAK - iaitu program bagi membina 'ETOS' sekolah melalui memperkasa PKBM (Pasukan Kadet Bersatu Malaysia) dengan menambah satu lagi platun PKBM sekolah dari kalangan pelajar wanita. Program ini telah menceburi banyak aktiviti di dalam dan di luar sekolah hingga membawa kejayaan-kejayaan dalam Pertandingan Kawad Kaki, Menembak, Perkhemahan PKBM di peringkat negeri dan kebangsaan.
  
Semasa beliau dilantik buat pertama kali sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di Segamat beliau telah memulakan kepimpinannya dengan hala tuju yang jelas. Untuk itu beliau telah menukilkan "AMANAT PPD SEGAMAT 2002", yang telah dibentang dan dikongsikan bersama dengan semua Pengetua dan Guru Besar Segamat pada 27.12.2001, di SMK Gemerih Segamat.

Seterusnya beliau telah membangunkan "Program D'SMAT" (bermaksud Program Development of Science Mathematic And Technology)), bersama unit Sains dan Matematik PPD Segamat. Program ini mempunyai hala tuju yang jelas, iaitu 'meletakkan mata pelajaran Sains, Matematik dan Teknologi ke mercu keunggulan sesuai dengan hasrat Wawasan 2020 iaitu : 'MEWUJUDKAN MASYARAKAT SAINTIFIK DAN PROGRESIF'.  Program ini telah melaksanakan LIMA aktiviti induk dengan jayanya iaitu:
1. MEMPERKASA PANITIA SAINS & MATEMATIK DAERAH     
2. PEMANTAPAN 'BAKMASS' (Badan Kebajikan Kakitangan Makmal Sains Daerah Segamat)
3. PENERBITAN BULETIN 'Smat'
4. PENUBUHAN 'SSIC' ( Segamat Science Informatian Centre)
5. PEWUJUDAN LAMAN WEB SAINS & MATEMATIK dengan alamat: http://www.usmj.com/
*PROGRAM D'SMAT ini telah dianugerahkan dengan 'ANUGERAH KUALITI JABATAN PELAJARAN JOHOR' pada tahun 2002.

Pada tahun 2003 hingga 2005 Tn.Hj.Jamian telah dilantik sebagai PPD Muar. Berbekalkan dengan ilmu pengetahuan dan pengalamannya dalam pengurusan secara terancang, beberapa program pembangunan untuk keunggulan Daerah Muar telah dibuat mengikut 'TEMA' Tahunan yang disepakati oleh semua kepimpinan Pengetua dan Guru Besar Daerah Muar. Antaranya:

A. TEMA TAHUN 2004 PPD MUAR ialah: TAHUN KERJA CEMERLANG (TKC).Tema tersebut mendokong "FALSAFAH: KERJA SAMA" -  PPD dan SEKOLAH kerja bersama-sama dengan bersungguh-sungguh supaya matlamat yang disasar mencapai kecemerlangan sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Asas kecemerlangan bermula pada setiap diri 'pemimpin' iaitu: Pegawai Pelajaran Daerah, Pengetua-Pengetua dan Guru-Guru Besar; dan setiap diri 'pemimpin' tersebut saling bantu-membantu, lengkap-melengkapi, sokong-menyokong antara satu sama lain, dalam SATU PASUKAN KERJA YANG KUKUH - (BUKAN ARAH DAN PERINTAH DARI ATAS KE BAWAH) - TETAPI SAMA-SAMA BERUSAHA DALAM SATU 'BARISAN BAHU-MEMBAHU' MENUJU KE HADAPAN - MEREMPUH SEGALA ONAK DAN RANJAU BERSAMA, DAN AKHIR MENJULANG KECEMERLANGAN MANIS BERSAMA - BUKAN AKU PUNYA, TETAPI "KITA PUNYA".

Program Utama bagi TKC 2004 ialah: 'PROGRAM AKU JAYA' - iaitu suatu Program Kecemerlangan yang menyeluruh meliputi:-

1. KECEMERLANGAN UPSR, PMR DAN SPM 2004 (dengan meletakkan sasaran GPS (Gred Purata Sekolah) bagi  sekolah dan daerah; mengikut kaedah: TOV (Take Off Value), ETR (Expected Targeted Result), ATR (Actual Targeted Result) dan OTI (Operational Target Incremental). Hasilnya: daerah Muar telah MENERIMA 'ANUGERAH KHAS': DAERAH TERBAIK SPM 2004 - daripada Jabatan Pelajaran Johor.

2.  Kecemerlangan dalam merangkul 'Anugerah-Anugerah'. Hasilnya: i. SK PARIT ZIN BAKRI MUAR telah menerima ANUGERAH KUALITI MENTERI PENDIDIKAN (AKMP) 2004 peringkat kebangsaan
ii. Lima buah sekolah telah menerima ANUGERAH 'JOHAN' SEKOLAH HARAPAN NEGARA 2004 peringkat negeri Johor mengikut kategori masing-masing. Sekolah-sekolah tersebut ialah:

SK BAKRI BATU 5, MUAR, SMK (P) SULTAN ABU BAKAR MUAR, SK BANDAR MAHARANI MUAR, SJKC PRESBYTERIAN MUAR dan SJKC PU NAN BAKRI MUAR.

iii.  Tiga buah sekolah telah menerima ANUGERAH 'JOHAN' 3K (KEBERSIHAN, KECERIAAN & KESELAMATAN) 2004 peringkat negeri Johor. Sekolah-sekolah tersebut ialah: SK BAKRI BT.5 MUAR, SMK TENGKU MAHMUD ISKANDAR SUNGAI MATI MUAR, dan SEKOLAH TINGGI MUAR.

iv. SMK TUN DR.ISMAIL BAKRI MUAR telah menerima ANUGERAH 'JOHAN' KUALITI PENGURUSAN KEWANGAN DAN AKAUN SEKOLAH 2004 peringkat kebangsaan pada 7.9.2004 di PWTC K.Lumpur.

v. PPD Muar telah menerima SIJIL MS ISO  9001 : 2000 daripada MAMPU di Jabatan Pelajaran Johor pada 13.9.2004. 

3. PROJEK RINTIS KGSK 2004 (Kumpulan Guru Simpanan Kerajaan) PPD MUAR:
KGSK ialah satu sistem 'GURU GANTI' yang diperkenalkan oleh En. Mohd. Salleh bin Hussin TKPPM Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Ia adalah khidmat 'Guru Sementara' di sekolah-sekolah, bagi mengatasi 'ketiadaan' guru di sekolah kerana cuti bersalin, cuti sakit, menunaikan haji, berkursus atau lain-lain hal untuk jangkamasa sekurang-kurangnya seminggu dan tidak melebihi 28 hari. 

Projek Rintis KGSK ini telah diusahakan dengan satu sistem yang berkesan berbantukan appikasi komputer, dan telah menunjukkan kejayaannya pelaksanaannya di Daerah Muar. En.Suratno pegawai daripada Bahagian Sekolah KPM telah membuat 'pemantauan' KGSK PPD Muar pada 5.7.2004 hingga 6.7.2004.
Hasil daripada pemantauan tersebut Bahagian Sekolah KPM sangat berpuas hati dan mencadangkan Projek Rintis KGSK PPD Muar akan dijadikan 'Modul CONTOH Projek KGSK' yang akan dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara mulai tahun hadapan (2005). Maka itu beberapa siri mesyuarat bagi tujuan 'pemantapan' dan cadangan-cadangan penambahbaikan, bersama Bahagian Sekolah KPM, telah diadakan pada 3.8.2004 di Blok F Selatan, Aras 4, KPM,  Putrajaya;  dan pada 8.11.2004 hingga 9.11.2004 di Cincord Inn KLIA



B. TEMA TAHUN 2005 PPD MUAR ialah: GERAK KERJA SEPADU (GKS)

Tema ini merupakan lanjutan daripada Tema 2004 (TKC) yang telah menunjukkan 'keberkesanannya. Kali ini tema tersebut diperkukuhkan dengan 'pernyataan' yang lebih tegas melalui tiga rangkai kata: GERAK KERJA SEPADU:
* GERAK - ialah 'ACTION' (hendak buat) bukan hanya 'kata-kata' yang menyedapkan telinga - ia lebih bermaksud mesti ada 'ACTION PLAN' (program-program pembangunan & pemajuan).
* KERJA - ialah 'PRACTICAL' (amali); iaitu dari apa yang di hasratkan/dirancang kini benar-benar dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti dan strategi-strategi yang dikenalpasi mampu dan berjaya.
* SEPADU - ialah falsafah Tema 2004 (KERJA SAMA) yang dikekal dan diteruskan antara PPD & SEKOLAH-SEKOLAH.

BEBERAPA PROGRAM UTAMA PPD MUAR Tahun 2005 dan hasil kejayaannya ialah:

1. PROGRAM MEMPERKASA AKUJAYA:
Hasilnya ialah:-

Sebanyak 3 buah sekolah dari Daerah Muar Johor, telah memenangi Anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Kebangsaan. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, semasa Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di adakan di Hotel Royal Adalphi Seremban pada 16.5.2005. Sekolah-sekolah tersebut ialah:
1. SJKC PRESBYTERIAN MUAR telah menerima ANUGERAH 'JOHAN' SEKOLAH 
    HARAPAN NEGARA 2005 (Kategori SJKC Bandar).
2. SK BAKRI BATU 5, MUAR telah menerima ANUGERAN 'NAIB JOHAN' SEKOLAH
    HARAPAN NEGARA 2005 (Kategori SK Luar Bandar).
3. SMK (P) SULTAN ABU BAKAR MUAR telah menerima ANUGERAH 'NAIB JOHAN'
    SEKOLAH HARAPAN NEGARA 2005 (Kategori SM Bandar).

 Pada awal tahun 2006 (semasa Tn.Hj.Jamian masih lagi sebagai PPD Muar), dua buah sekolah dari daerah Muar telah terpilih untuk menyertai Penilaian bagi  Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan (AKMP) peringkat kebangsaan. Kedua-dua sekolah tersebut telah berjaya memenangi anugerah tersebut yang telah disampaikan oleh KSU KPM sempena Sambutan Hari Kualiti KPM pada 11.9.2006. Sekolah-sekolah tersebut ialah SK BAKRI BATU 5, MUAR dan SK PARIT STONGKAT MUAR.


 2. PROGRAM e-LAB: iaitu Program Laporan Adab Belajar (LAB) secara berkomputer. Program ini merupakan satu 'report card' pelajar yang menyeluruh secara berkomputer; untuk rujukan ibubapa khasnya dan pehak-pehak lain amnya. Ianya  melaporkan semua bidang yang berkaitan dengan seorang pelajar, iaitu: 

i. MAKLUMAT PENUH PELAJAR
ii.PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR
iii.KEGIATAN KOKURIKULUM PELAJAR SERTA PENCAPAIANNYA
iv.REKOD SALAH LAKU/DISIPLIN PELAJAR
v.REKOD BUKU TEKS


* SMK BANDAR MAHARANI telah menjadi 'perintis' kepada pelaksanaan e-LAB
* Beberapa buah SMK Daerah Muar telah melaksana dan menggunakan e-LAB sepenuhnya seperti SMK Ledang Tangkak
.* Program e-LAB SMK BANDAR MAHARANI MUAR telah dibentangkan sebagai satu "KERTAS CADANGAN" dalam Mesyuarat Ketua Sektor dan PPD bil 2/2005 di Hotel Katerina Batu Pahat Johor pada 1-3 Jun 2005. Seterusnya program ini telah diterma oleh JPNJ untuk disebarluaskan kepada semua sekolah di negeri Johor.

3. 'JELAJAH' PROJEK KGSK (Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan) Kementerian Pelajaran Malaysia:
Bedasarkan kejayaan PROJEK RINTIS KGSK PPD MUAR 2004 yang telah BERJAYA di laksanakan dengan berkesan, maka En.Mohd.Salleh bin Hussin Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, telah menerima MODUL PROJEK RINTIS KGSK 2004 PPD MUAR untuk dijadikan contoh dan digunapakai oleh semua PPD dan Jabatan Pelajaran di seluruh negara.


Sehubungan dengan itu Tn.Hj.Jamian selaku Pegawai Pelajaran Daerah Muar ketika itu telah diminta untuk menerangkan 'Modul KGSK PPD Muar' kepada Jabatan Pelajaran Sabah pada 1.2.2005 dan Jabatan Pelajaran Sarawak pada 2.2.2005 bersama-sama En.Mohd.Salleh Hussin TKPPM Bahagian Sekolah KPM. Kemudiannya beliau sekali lagi telah diminta untuk menerangkan perkara yang sama kepada semua PPD Negeri Perak pada 5.2.2005 bertempat di MRSM Taiping. Lanjutan dengan projek tersebut beberapa mesyuarat telah diadakan iaitu:-

i.  MESYUARAT PENGURUSAN DATA KGSK pada 20.6.2005 hingga 22.6.2005 bersama En.Suratno (Pegawai daripada Unit Rendah Bahagian Sekolah KPM) di Hotel Katerina Batu Pahat serta lawatan pemantauan KGSK ke PPD Muar pada 22.6.2005.

ii. MESYUARAT PENGURUSAN KGSK pada 8.8.2005 hingga 11.8.2005 di Sandakan Sabah, 



Pada 1.4.2006 Tn.Hj.Jamian telah dilantik sebagai TIMBALAN PENGARAH PELAJARAN JOHOR (TPPJ) sehingga beliau bersara pada 27.2.2008. Sepanjang bertugas sebagai TPPJ beliau telah membantu Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dalam melaksanakan program-program yang menjadi fokus utama JPNJ; antaranya:

1. PERANCANGAN STRATEGIK 2006-2008 JPNJ - Suatu perancangan bagi mencapai VISI JPNJ: JOHOR GEMILANG PADA TAHUN 2008; dengan menekankan kecemerlangan di dalam pelbagai skop:

 1.1. KECEMERLANGAN AKADEMIK dengan PROGRAM JOHOR TOP-5 pada tahun 2008: iaitu 'matlamat' untuk meletakkan Johor antara tempat ke-5 teratas di peringkat kebangsaan dalam keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan/atau STPM pada tahun 2008. Bagi memastikan 'matlamat' tersebut tercapai beberapa projek telah dirancang dan dilaksana iaitu: PROJEK HEADCOUNT:SISTEM ANALISIS PEPERIKSAAN (SAP123HC: Versi 3.0) , PROJEK AUDIT AKADEMIK JPNJ, PROJEK SKUAD PANTAS AKADEMIK: Dengan penggunaan  'MODUL MENANGANI TOPIK SUKAR' yang dibina oleh MGC (Majlis Guru Cemerlang) Johor dan PROJEK KUNJUNG BANTU SKM.

1.2 KECEMERLANGAN KEPIMPINAN dengan KURSUS KEPEMIMPINAN INSTRUKSIONAL (bagi Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan). Kursus ini telah malalui beberapa fasa mengikut kumpulan. Kurusu-kursus tersebut telah dijalankan di bawah kelolaan 'Konsultan Pakar' di Hutan Negara Selai Segamat.

1.3 KECEMERLANGAN PENGURUSAN dengan PROGRAM e-TAKWIM. Program ini ialah suatu program yang dibina menggunakan applikasi komputer bagi 'mengawal' pergerakan guru yang selalu 'keluar' kerana 'tugas di luar sekolah'; seperti terlibat dengan pelbagai kursus, sukan, kegiatan kokurikulum, agensi-agensi kerajaan yang lain dan sebagainya.

Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) JPNJ telah membuat kajian atas isu guru keluar sekolah dan mencadangkan satu kaedah yang sistematik untuk 'mengawal' guru keluar sekolah supaya 'tidak melebihi 10%' daripada bilangan keseluruhan guru di sesebuah sekolah pada setiap hari persekolahan. Kaedah tersebut dinamakan PROGRAM e-TAKWIM. Program ini adalah atas TINDAKAN DAN PERANCANGAN Tn.Hj.Jamian sendiri bersama SPS JPNJ. Program ini kemudiannya telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) KPM. Pada masa tersebut Dato' Ahmad Sipon selaku KPPM KPM telah bersetuju agar program ini dirintis di JPNJ dan akan digunapakai kemudiannya oleh semua Jabatan Pelajaran Negeri, apabila semuanya telah lancar dan berkesan.

SUMBANGAN SELEPAS BERSARA:
Tn.Hj.Jamian bersara daripada perkhidmatan pelajaran pada 27.2.2008, dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran Johor. Setelah bersara beliau dapat bergiat dengan lebih 'aktif' di dalam kegiatan-kegiatan NGO (yang sebahagiannya memang telah lama beliau terlibat, dengan memegang beberapa jawatan tertentu). Ini kerana setelah bersara beliau mempunyai masa yang lapang. Selaku Pengerusi Surau Silaturrahim, pada tahun 2009 beliau bersama AJK surau telah berusaha menjalankan aktiviti-aktiviti surau dengan lebih berkesan, sehingga beliau berhasrat untuk memasuki 'PERTANDINGAN SURAU CEMERLANG TAHUN 2009' peringkat Mukim dan Daerah Muar.

Akhirnya Surau Silaturrahim Parit Jawa telah berjaya memenangi 'JOHAN SURAU CEMERLANG 2009' peringkat Mukim dan Daerah Muar dengan menerima sijil dan wang tunai RM4500. Selanjutnya surau tersebut telah dicalonkan bagi mewakili Daerah Muar ke PERTANDINGAN SURAU CEMERLANG  peringkat negeri. Kali ini Surau Silaturrahim Parit Jawa telah berjaya memenangi NAIB JOHAN SURAU CEMERLANG 2009 peringkat negeri Johor dengan menerima sijil dan wang tunai RM4000.

Sepanjang tahun 2008 (selepas bersara) sehingga kini Th.Hj.Jamian sering dijemput untuk berkongsi pengalaman dalam usaha membantu PPD Muar dan sekolah-sekolah daerah Muar untuk membangunkan potensi diri para guru supaya lebih bermotivasi dan berintegriti dalam tugas dan tanggunjawab mereka. Untuk tujuan tersebut beliau memenuhi jemputan-jemputan untuk memberi ceramah dalam slot Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) di sekolah-sekolah juga di PPD Muar.

Ada kalanya juga juga beliau berkongsi pengalaman dengan memberi ceramah-ceramah yang berkaitan dengan peranan dan hala tuju sesebuah pertubuhan, seperti PIBG, AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) Daerah Muar, MGB (Majlis Guru Besar) Daerah Muar, M4P (Majlis Pemimpin Pelapis Perkhidmatan Pelajaran) Daerah Muar iaitu dari kalangan Guru-Guru Penolong Kanan: Pentadbiran, HEM, KO-KO, Penyelia Petang dan MPSM (Majlis Pengetua Sekolah Menengah) Daerah Muar.

Mulai tahun 2010 hingga 2011 Tn.Hj.Jamian terlibat aktif bersama program SIWP (Seminar Integriti Warga Pendidik) kelolaan Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam slot 'BICARA TOKOH' di semua IPG (Institut Pendidikan Guru) dan PPD seluruh negara. Dalam slot tersebut beliau berkongsi pengalaman dengan para peserta seminar mengenai ETIKA KERJA yang berintegriti yang telah diamalkannya,- semasa beliau sebagai seorang guru biasa dan sebagai seorang Pengetua.

Tn.Hj.Jamian ada menulis sebuah artikal untuk jurnal e-Majalah "JAUHARI" keluaran Jabatan Pelajaran Johor Bil:2/JPNJ April 2010 berjudul "HIKMAH DISEBALIK PERKATAAN "SAYANG"...
Beliau juga ada menulis sebuah artikal berjudul "AZAM PENGETUA SETAHUN JAGUNG" untuk buku 'JEJAK GURU BERINTEGRITI Integriti Memperkasa' keluaran IIM 2010.

Dalam Artikal "AZAM PENGETUA SETAHUN JAGUNG" tersebut beliau menulis pengalamannya sebagai pengetua baru di SMK Tun Dr.Ismail Bakri Muar dengan program-program pembangunan dan kemajuan sekolah yang telah berjaya dilaksanakan. Program-program tersebut merupakan 'PROGRAM PERUBAHAN TERANCANG' .

Tn.Hj.Jamian telah diwawancara oleh En.Azizi Abd.Majid dari Utusan Malaysia untuk slot "BERSAMA TOKOH" edisi Utusan Melayu keluaran 13 Jun 2011. Dalam wawancara tersebut beliau ada menyarankan agar guru-guru hendaklah mendidik anak murid dengan ikhlas agar segala ilmu yang dicurahkan diberkati. Para guru masa kini hendaklah sentiasa ke hadapan bagi menghadapi pelajar-pelajar masa kini yang lebih suka kepada bentuk pembelajaran yang penuh dengan cabaran. Mereka bukan hanya inginkan jawapan yang betul sahaja, malah ingin mengetahui mengapa dan bagaimana jawapan itu betul.

Tn.Hj.Jamian juga telah memberikan pendapatnya mengenai "Cabaran integriti pada abad ke-21" keluaran Mingguan Malaysia (Ahad 28.8.2011) dengan mengatakan "Di dalam PIN (Pelan Integriti Nasional) ini, jelas menunjukkan bahawa faktor utama yang akan menjejaskan integriti ialah kepimpinan. Jika kepimpinan tidak berintegriti bagaimana mahu melahirkan sebuah institusi yang cemerlang. Bagi saya soal integriti ialah kualiti. Sekolah yang berintegriti adalah sekolah yang berkualiti dan cemerlang dari segi pengurusan dan akademik."
















                                                                      


1 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More